Trump gaduh besar dengan Musk, ancam sokongan kepada Tesla, SpaceX

WASHINGTON 6 MUHARRAM — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam akan menghentikan subsidi berbilion dolar kepada syarikat milik Elon Musk, sekali gus meningkatkan `perang mulut’ antara presiden dan individu terkaya di dunia itu, bekas sekutu yang kini berseteru.

Musk, yang sebelum ini pernah membiayai kempen pemilihan semula Trump, kini menjadi pengkritik utama terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Cukai dan Perbelanjaan baharu yang diluluskan Senat. 

RUU tersebut antara lain akan memansuhkan subsidi pembelian kenderaan elektrik (EV) – langkah yang memberi tamparan hebat kepada Tesla, syarikat pengeluar EV terkemuka milik Musk.

“Dia marah kerana kehilangan mandat EV-nya…dia sangat kecewa tentang banyak perkara, tetapi dia boleh kehilangan lebih banyak daripada itu,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Walaupun Musk secara terbuka menyatakan bahawa subsidi kerajaan sepatutnya dihapuskan, Tesla telah menerima manfaat berbilion dolar dalam bentuk insentif dasar dan kredit cukai. Antaranya termasuk kredit cukai pengguna bernilai AS$7,500 yang menjadikan pembelian EV lebih mampu milik.

Saham Tesla jatuh lebih 5 peratus

CEO Tesla sekali lagi mengancam untuk menubuhkan parti politik baharu dan membelanjakan wang untuk menyingkirkan penggubal undang-undang yang menyokong RUU Cukai itu, walaupun beliau sebelum ini berkempen untuk mengehadkan perbelanjaan kerajaan. Republikan menyatakan kebimbangan bahawa perseteruan Musk dan Trump yang turun naik boleh menjejaskan peluang mereka untuk mengekalkan majoriti dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres 2026.

Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, menolak kritikan Musk bahawa RUU itu akan melonjakkan defisit, dengan berkata, “Saya akan uruskan kewangan negara ini.”

Musk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, sebelum beliau menarik diri pada akhir Mei lalu. Trump di Truth Social menyatakan Musk mungkin menerima lebih banyak subsidi “berbanding mana-mana manusia dalam sejarah, dengan jurang yang besar,” sambil menambah: “Tiada lagi pelancaran roket, satelit atau pengeluaran kereta elektrik, dan negara kita akan menjimatkan berbilion.”

Trump kemudian memberitahu wartawan sambil tersenyum, “DOGE ialah raksasa yang mungkin perlu kembali dan memakan Elon.”

Sebagai respon terhadap ancaman Trump, Musk berkata di platform media sosialnya X, “Saya secara literal berkata hentikan semua.sekarang.” Beliau kemudian menambah boleh meningkatkan lagi pertikaian dengan Trump, tetapi berkata, “Saya akan menahan diri buat masa ini.”

Cabaran terhadap Tesla

Perseteruan ini boleh menimbulkan cabaran baharu kepada empayar perniagaan Musk, terutama ketika pengeluar kereta elektrik itu, sumber utama kekayaannya, bertaruh besar kepada kejayaan program teksi robot (robotaxi) yang kini diuji di Austin, Texas. Kepantasan pengembangan robotaxi Tesla bergantung kuat pada peraturan negeri dan Persekutuan berkaitan kenderaan pemanduan kendiri.

“Nilai Tesla sekarang banyak bergantung pada kemajuan ke arah autonomi. Saya tidak fikir ada apa-apa yang akan berlaku dalam hal itu, tetapi itu adalah risikonya,” kata Gene Munster, rakan kongsi pengurusan di firma pelaburan Tesla, Deepwater Asset Management.

Penganalisis menjangka suku tahun yang sukar apabila Tesla melaporkan angka penghantaran suku kedua pada Rabu ini. Jualan di pasaran utama Eropah pula bercampur-campur, sementara kecenderungan politik Musk ke arah sayap kanan telah mengasingkan bakal pembeli di beberapa pasaran dunia. 

Pemansuhan kredit EV boleh menjejaskan pendapatan Tesla sebanyak AS$1.2 bilion, kira-kira 17 peratus daripada pendapatan operasi 2024, menurut anggaran penganalisis JP Morgan awal tahun ini.

Electrification Coalition, kumpulan advokasi EV, menggesa Dewan Perwakilan AS menyemak semula RUU Senat itu. Saham syarikat EV lebih kecil seperti Rivian dan Lucid Group masing-masing jatuh 2 peratus dan 3.8 peratus pada Selasa.

Gary Black, pelabur lama Tesla yang mengurus dana untuk Future Fund LLC, baru-baru ini menjual sahamnya apabila jualan kereta menurun. Beliau memberitahu Reuters bahawa beliau sedang mempertimbangkan waktu untuk melabur semula dan pemansuhan kredit EV akan merugikan Tesla. Dalam catatan berasingan di X, Black berkata: “Tidak pasti mengapa @elonmusk tidak menjangka ini berlaku akibat beliau bersuara menentang RUU Trump.”

Jabatan Pengangkutan AS mengawal selia reka bentuk kenderaan dan akan memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada Tesla boleh menghasilkan robotaxi tanpa pedal dan stereng secara besar-besaran, manakala firma roket Musk, SpaceX, mempunyai kontrak persekutuan bernilai kira-kira AS$22 bilion.

Tesla juga memperoleh kredit peraturan kerana menjual kenderaan elektrik, dan meraih hampir $11 bilion dengan menjual kredit itu kepada pengeluar lain yang gagal mematuhi peraturan pelepasan kenderaan yang semakin ketat. Tanpa jualan itu, syarikat itu akan mencatat kerugian suku pertama pada April.

Trump pada awal Jun mengancam untuk memotong kontrak kerajaan Musk apabila hubungan mereka meletus menjadi pertarungan habis-habisan di media sosial mengenai RUU Cukai yang dianggarkan oleh penganalisis bebas akan menambah kira-kira AS$3 trilion kepada hutang AS.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengusir Musk, seorang warga AS yang kerakyatannya diperoleh melalui proses naturalisasi, Trump memberitahu wartawan ketika meninggalkan Rumah Putih pada Selasa: “Saya tak tahu. Kita kena lihat dulu.” – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mahkamah Rayuan tolak cubaan AS hantar pulang pelajar pro-Palestin

Next Post

Letupan paip gas: Penduduk tuntut siasatan semula, kecewa keputusan NFA

Related Posts