GAZA, 24 SAFAR – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), menyatakan bahawa rancangan Israel untuk memindahkan penduduk Palestin dari Bandar Gaza merupakan “gelombang baharu pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran” terhadap ratusan ribu penduduk di kawasan itu.
Hamas menyifatkan rancangan Israel untuk memasang khemah dan peralatan perlindungan lain di selatan Gaza sebagai satu “penipuan terang-terangan”.
Tentera Israel sebelum ini berkata, mereka sedang bersiap sedia menyediakan khemah dan kelengkapan bermula semalam sebagai sebahagian daripada rancangan memindahkan penduduk dari zon pertempuran ke selatan semenanjung itu “bagi memastikan keselamatan mereka”.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan bahawa pemasangan khemah atas alasan tujuan kemanusiaan adalah satu penipuan jelas yang bertujuan untuk “menutup jenayah kejam yang sedang dipersiapkan oleh pasukan penjajah”.
Awal bulan ini, Israel menyatakan hasrat melancarkan serangan baharu untuk menguasai bahagian utara Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di semenanjung itu.
Rancangan tersebut menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai nasib wilayah yang telah musnah, yang menempatkan kira-kira 2.2 juta penduduk.
Israel mendakwa perang tercetus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan 1,200 orang dan menawan 251 tebusan. Dianggarkan kira-kira 20 daripada baki 50 tebusan di Gaza masih hidup.
Namun menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan ketenteraan Israel yang menyusul terhadap Hamas mengorbankan lebih 61,000 rakyat Palesti. Ia juga mencetuskan krisis kebuluran, memaksa sebahagian besar penduduk Gaza menjadi pelarian dan memusnahkan sebahagian besar semenanjung itu. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi