Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pengarah Hospital Kamal Adwan di Utara Gaza memaklumkan nyawa lebih 100 pesakit kini berada dalam bahaya selepas bekalan air, elektrik dan oksigen terputus.
Hossam Abu Safiyeh berkata serangan dan pengeboman yang dilakukan Israel di wilayah itu mengakibatkan kerosakan teruk di kawasan hospital, lapor AFP.
“Bekalan air dan elektrik terputus. Kami merayu bantuan masyarakat antarabangsa dengan segera. Keadaan pula menjadi semakin berbahaya.
“Pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pesakit lain menunggu pembedahan. Bilik pembedahan hanya boleh digunakan jika bekalan elektrik dan oksigen dipulihkan,” katanya.
Beliau berkata hospital itu kini merawat 112 pesakit cedera termasuk enam pesakit di ICU dan 12 kanak-kanak.
Katanya, serangan berterusan Israel menghalang pihaknya melakukan kerja pembinaan semula hospital.
Israel minggu lalu melancarkan operasi di hospital berkenaan namun mendakwa tidak melakukan serangan menyasarkan bangunan itu.
Hospital Kamal Adwan yang terletak di Beit Lahia merupakan pusat operasi ketenteraan Israel yang kononnya bagi menghalangi pembentukan semula Hamas.
Taufan Al-Aqsa yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu mengorbankan lebih 44,700 penduduk Palestin yang terdiri daripada orang awam.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI