Dewan Rakyat kecoh: Mula-mula ‘mambar’, lama-lama jadi ‘mambang’

BANGI, 12 SAFAR – Tindakan Datuk Rosol Wahid melabelkan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai ‘mambar’ menimbulkan kekecohan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Rosol (PN-Hulu Terengganu) mendakwa `mambar’ bermaksud tidak berapa keras atau kurang keras.

Namun, RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah, tidak berpuas hati dengan tindakan Rosol dan mendakwa perkataan itu sebagai tidak sopan.

“Saya nak rujuk kenyataan dikeluarkan Hulu Terengganu yang merujuk enam Ahli Parlimen itu sebagai ‘mambar’ atau halus atau tidak keras. Itu adalah perkataan yang kurang sopan,” hujah Rayer.

Rosol pula menyifatkan Rayer sebagai seorang yang sensitif kerana tidak faham maksud sebenar perkataan `mambar’.

Ini dibalas Rayer yang bertanya adakah Rosol boleh menerima jika gelaran itu dituju kepadanya?

“Kalau saya kata Hulu Terengganu ‘mambar’, tak keras, boleh terima?,” tanya Ahli Parlimen DAP itu.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Chong Zhemin (PH-Kampar) turut mencelah dengan menjadikan Peraturan Mesyuarat 36(4) sebagai senjata. 

Namun, beliau mendakwa Rosol menggunakan gelaran ‘mambang’ kepada enam bekas Ahli Parlimen BERSATU.

“Ini sindiran halus, semua orang faham, jangan pakai perkataan tersebut. Sila tarik balik perkataan ‘mambang’, it’s unparliamentary (tidak selaras dengan peraturan, adab, atau etika Parlimen),” katanya.

Keadaan dapat ditenangkan apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta semua Ahli Parlimen terbabit supaya duduk.

Namun, Johari mengakui tidak faham dengan maksud ‘mambar’ dan meminta Rosol tidak menggunakan perkataan itu dalam sidang Dewan Rakyat.

“Pertama, saya sendiri tak faham apa ini ‘mambar’. Kedua, saya tak tahu keras atau tak, jadi saya anggap itu bukan unparliamentary selagi saya tak faham.

“Jadi jangan guna lagi perkataan itu sebab saya pun tak faham. Hulu Terengganu tolong, mungkin di kawasan YB (Yang Berhormat) faham, tapi bukan di sini (Dewan Rakyat,” katanya.

Carian  dalam laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka,  mentakrifkan `mambar’ sebagai perkataan dialek Kelantan yang bermaksud tidak menarik, tidak cergas dan lembap

Antara maksud `mambang’ pula ialah hantu yang bermacam-macam warna..

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Peruntukan Ahli Parlimen: Jangan salahkan pembangkang sahaja – Hamzah

Next Post

PBB bimbang kemungkinan operasi Israel diperluas di Gaza

Related Posts