Anak muda disuruh tamat sekolah awal, tapi bagaimana peluang kerja?

CADANGAN supaya persekolahan ditamatkan pada usia 16 tahun bagi membolehkan anak muda menyertai pasaran kerja lebih awal menimbulkan persoalan besar: Apakah sistem pendidikan kita sudah cukup mantap untuk melahirkan remaja matang dan bersedia ke alam pekerjaan pada usia semuda itu?

Lebih merumitkan, cadangan ini hadir dalam suasana dasar negara yang kelihatan bercanggah apabila had umur persaraan pula dicadang mahu dilanjutkan sehingga 65 tahun. Lalu, timbul pertanyaan kritikal: Bagaimana anak muda mahu menyertai pasaran kerja jika peluang masih terhad dan jawatan-jawatan utama masih dikuasai oleh warga kerja senior?

Masalah utama dalam isu pekerjaan bukanlah usia anak muda tamat belajar, tetapi kelemahan struktur pasaran kerja yang membiarkan warga emas terus berkhidmat dalam sistem tanpa had yang wajar.

Mereka yang sudah berpangkat, bergred tinggi dan berpengalaman luas tidak mahu berundur, sebaliknya terus mendominasi ruang kerjaya, menyebabkan graduan muda terpaksa menunggu atau berhijrah ke luar negara.

Tamat sekolah pada usia 16 tahun juga bukanlah penyelesaian mudah. Dalam sistem hari ini, ramai pelajar belum cukup matang pada usia tersebut. Mereka masih perlukan bimbingan dalam aspek akhlak, kemahiran dan hala tuju hidup.

Menolak mereka keluar lebih awal daripada sistem pendidikan hanya akan menambahkan risiko gejala sosial, kemiskinan bandar dan tekanan psikologi jika mereka tidak menemui laluan kerjaya yang sesuai.

Adakah sistem pendidikan kita cukup kukuh untuk menyediakan remaja semuda itu menghadapi dunia sebenar? Adakah silibus, tenaga pengajar dan sokongan peralihan kerjaya sudah diperkukuh?

Dalam masa yang sama, ratusan doktor muda masih menunggu giliran untuk penempatan housemanship, guru-guru lepasan IPG masih belum mendapat penempatan tetap, dan puluhan ribu graduan IPTA masih menganggur. Semua ini berpunca daripada kegagalan sistem yang enggan meletakkan had yang tegas terhadap umur persaraan, sekali gus menyekat ruang untuk kemasukan tenaga kerja muda.

Apa gunanya tamat sekolah awal jika akhirnya mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum mendapat peluang pekerjaan yang setimpal?

Lebih malang, anak-anak Melayu yang tidak tahan menunggu akhirnya terpaksa keluar negara untuk mencari rezeki. Negara lain yang untung, kita pula yang rugi. Tenaga kerja muda, profesional dan produktif dihantar keluar tanpa insentif untuk kembali berkhidmat kepada tanah air sendiri.

Cadangan seperti ini memperlihatkan jurang besar antara pembuat dasar dengan realiti rakyat. Tidak cukup dengan beban kos sara hidup, harga rumah dan tekanan bandar, kini sistem pendidikan pula mahu diubah dengan alasan yang belum kukuh dan tidak berpijak di bumi nyata.

Malaysia tidak perlukan lebih banyak cadangan dasar yang tergesa-gesa. Yang kita perlukan ialah dasar yang konsisten, selaras antara kementerian, dan berpaksikan realiti, bukan hanya angka dan statistik dari atas.

Kalau benar anak muda mahu dipersiapkan untuk dunia pekerjaan, bukan dengan tamatkan persekolahan lebih awal, tetapi dengan memperbaiki silibus, memperkukuh pendidikan TVET, mengurangkan ketirisan peluang kerja, dan membuka laluan yang adil kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negara.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

SKMM siasat video pempengaruh beri sisa makanan kepada gelandangan

Next Post

Isu Jalur Gemilang: Teguran dibuat atas kesedaran, bukan kerana berpolitik – PERKASA

Related Posts