BANGI, 10 SAFAR – Kerajaan akan menjadikan maklumat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai rujukan utama bagi menentukan kelayakan penerima subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang kini sedang diperhalusi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ini sekali gus menjadikan inisiatif itu sebagai penggunaan pertama sistem tersebut secara menyeluruh dan terperinci.
“Inilah pengguna pertama PADU yang betul-betul terperinci yang akan digunakan untuk subsidi bersasar,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) yang meminta penjelasan mengenai jumlah data dikumpul dalam sistem PADU setakat Jun 2025 dan sejauh mana kerajaan bersedia melaksanakan audit berkala oleh badan bebas bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus sistem tersebut.
Amir Hamzah yang menjalankan tugas Menteri Ekonomi memberitahu bahawa sehingga kini, sebanyak 30.4 juta profil individu telah dimasukkan ke dalam sistem PADU.
Menurutnya, kerajaan memfokuskan kepada penggunaan data terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, termasuk pengesahan dan verifikasi maklumat pemohon untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi.
Setakat ini, katanya sebanyak 204 agensi kerajaan melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU.
Namun, katanya penggunaan data tersebut terhad kepada keperluan khusus agensi masing-masing.
“Untuk menggalakkan pembuatan keputusan berpacukan data, satu garis panduan perkongsian PADU telah diwujudkan dan diedarkan kepada semua agensi kerajaan pada 25 Februari lalu,” katanya.
Setakat ini, katanya, sebanyak sembilan permohonan rasmi daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi penggunaan data PADU untuk meningkatkan kecekapan dasar serta inovasi pendigitalan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, data yang dikumpulkan akan menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program intervensi sosial yang lebih tepat sasaran pada masa akan datang.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi