JUMAAT, 26 NOVEMBER – Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90 tanpa menjejaskan aspek kualiti peranti berkenaan.
Penurunan harga sebanyak 87.7 peratus sejak kit berkenaan pertama kali dijual di pasaran bagi kegunaan orang ramai disifatkan selari usaha kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.
“Keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian.”
– Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika mengumumkan perkara itu berkata kit ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi keperluan seisi rumah, memandangkan kadar penularan pandemik masih tinggi di Malaysia.
Susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, beliau mengakui bahawa keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap.
Tambahnya, melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM), beliau bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.