Gempa 8.8 magnitud cetus tsunami, Jepun dan Hawaii arah pemindahan

TOKYO, 5 SAFAR – Gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda perairan berhampiran Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia, hari ini, merosakkan bangunan dan mencetuskan tsunami setinggi 4 meter, sekali gus memaksa beberapa negara di rantau Pasifik mengeluarkan amaran dan arahan pemindahan.

Beberapa orang cedera di wilayah terpencil Rusia itu, manakala sebahagian besar pantai timur Jepun yang pernah dilanda gempa dan tsunami besar pada 2011 turut diarahkan untuk berpindah.

“Gempa hari ini sangat serius dan terkuat dalam beberapa dekad,” kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov dalam video yang dimuat naik di Telegram.

Tsunami setinggi 3 hingga 4 meter direkodkan di beberapa bahagian Kamchatka, kata Menteri Hal Ehwal Kecemasan wilayah itu, Sergei Lebedev, sambil menggesa penduduk menjauhkan diri dari kawasan pantai.

Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek 19.3 kilometer (km) dan berpusat 119 km ke timur tenggara bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, yang mempunyai 165,000 penduduk. Magnitud gempa disemak semula daripada 8.0 kepada 8.8 dan satu gempa susulan kuat berukuran 6.9 turut direkodkan tidak lama selepas itu.

Agensi cuaca Jepun menaikkan tahap amaran tsunami, menyatakan gelombang setinggi sehingga 3 meter dijangka melanda kawasan pantai yang luas.

Siren tsunami dibunyikan di bandar pesisir sepanjang pantai Pasifik Jepun, dengan pihak berkuasa menggesa penduduk segera menuju ke kawasan lebih tinggi.

Rakaman penyiar awam NHK menunjukkan puluhan orang di pulau utara, Hokkaido berlindung di atas bumbung bangunan di bawah khemah, sementara bot nelayan meninggalkan pelabuhan untuk mengelak kerosakan daripada gelombang yang sedang mendatang.

Pekerja di loji nuklear Fukushima yang pernah mengalami tragedi kebocoran radioaktif selepas tsunami 2011 juga telah dipindahkan, menurut pengendali loji, TEPCO.

Setakat ini hanya gelombang kecil direkodkan dan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, dan tiada sebarang masalah di mana-mana loji nuklear.

Amaran seluruh rantau Pasifik

Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) turut mengeluarkan amaran berhubung “gelombang tsunami berbahaya” dalam tempoh tiga jam berikutnya.

Gelombang melebihi 3 meter dijangka melanda sebahagian pantai Rusia dan Ecuador, manakala gelombang setinggi 1 hingga 3 meter mungkin melanda Jepun, Hawaii, Chile dan Kepulauan Solomon. Gelombang kecil juga dijangka melanda sebahagian besar kawasan pesisir Pasifik, termasuk pantai barat AS.

“Disebabkan gempa bumi besar di Lautan Pasifik, amaran tsunami kini berkuat kuasa bagi penduduk Hawaii,” kata Presiden AS, Donald Trump dalam satu hantaran di media sosial.

“Tsunami Watch” juga dikeluarkan bagi Alaska dan Pantai Pasifik AS. “Jepun juga dalam laluan gelombang. Sila lawati tsunami.gov untuk maklumat terkini. KEKAL KUAT DAN BERHATI-HATI!” katanya lagi.

Pihak berkuasa Hawaii mengarahkan pemindahan dari kawasan pesisir tertentu. “Ambil tindakan segera! Gelombang tsunami berbahaya dijangka berlaku,” kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Honolulu di X.

Amaran itu meminta penduduk kawasan rendah supaya segera berpindah ke tanah tinggi atau sekurang-kurangnya ke tingkat empat bangunan.

Seorang penduduk di Petropavlovsk-Kamchatsky berkata, gegaran bermula perlahan tetapi semakin kuat dan berterusan selama beberapa minit.

“Melihat pada kekuatan dan betapa lama berlaku…saya ambil keputusan untuk tinggalkan bangunan,” kata Yaroslav, 25.

“Bangunan ini sangat ringan dan mungkin sebab itu ia tidak runtuh. Tapi saya rasa bila-bila masa saja dinding boleh rebah. Gegaran itu berterusan sekurang-kurangnya tiga minit.”

Beberapa orang mendapatkan rawatan perubatan selepas kejadian, menurut Menteri Kesihatan Wilayah, Oleg Melnikov kepada agensi berita negara Rusia, TASS.

“Malangnya ada beberapa orang yang cedera. Ada yang terjatuh semasa cuba melarikan diri, seorang melompat keluar dari tingkap, dan seorang wanita cedera di dalam terminal lapangan terbang baharu,” kata Melnikov.

Kementerian Kecemasan Rusia di Telegram berkata, pelabuhan di bandar Severo-Kurilsk di Sakhalin dan sebuah kilang pemprosesan ikan turut dilanda banjir separa akibat tsunami. Penduduk telah dipindahkan.

Sebuah tadika turut mengalami kerosakan, tetapi kebanyakan bangunan mampu bertahan dan tiada kecederaan serius atau kematian dilaporkan, tambah kementerian tersebut.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bomba harap tindakan lebih berat terhadap laporan palsu pempengaruh

Next Post

Pasaran saham lemah punca hasil pelaburan KWSP menurun

Related Posts