28 negara gesa henti perang Gaza, tapi kekal berdagang dengan Israel

GAZA, 3 SAFAR – Seramai 28 menteri luar dari negara-negara Barat dan sekutunya dilaporkan telah menandatangani kenyataan bersama menggesa agar Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Namun, kebanyakan negara ini masih mengekalkan hubungan dagang aktif dengan rejim Zionis dan tidak mengambil sebarang tindakan bermakna seperti sekatan atau pemutusan hubungan ekonomi yang mampu menekan Israel untuk menghentikan serangan.

Menurut data Observatory of Economic Complexity bagi tahun 2023, negara seperti Belgium, Perancis, Ireland, Itali, Jepun, Belanda, Poland, Sepanyol, Switzerland dan United Kingdom mencatatkan nilai perdagangan melebihi AS$1 bilion dengan Israel – sama ada dalam bentuk import, eksport atau kedua-duanya.

Antara barangan utama yang diniagakan termasuk kereta, litar bersepadu, vaksin dan minyak wangi. 

Sebagai contoh, Ireland mengimport litar bersepadu bernilai AS$3.58 bilion, manakala Itali mencatat eksport sebanyak AS$3.49 bilion ke Israel, termasuk kereta bernilai AS$116 juta.

Ireland dan Sepanyol, yang mengiktiraf negara Palestin pada 2024, juga masih meneruskan perdagangan dengan Israel. 

Negara lain yang mengiktiraf Palestin termasuk Cyprus, Malta, Poland, Iceland, Sweden, Norway dan Slovenia, turut menandatangani kenyataan bersama ini – namun tanpa langkah susulan yang tegas.

Semua 28 negara penandatangan masih menjalankan urusan perdagangan aktif dengan Israel.

Antaranya termasuk: Australia, Austria, Belgium, Kanada, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Greece, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan UK.

Dalam masa sama, seruan untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan juga dikeluarkan oleh beberapa negara seperti Perancis, Jerman dan UK, selepas perbincangan tergempar berhubung krisis kebuluran akibat sekatan ke atas Gaza.

Namun, hingga kini tiada perubahan ketara berlaku. Serangan Israel masih berterusan dan jumlah korban terus meningkat. Setakat ini, sekitar 59,821 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 144,000 lagi cedera.

Beberapa pengulas antarabangsa menyifatkan kenyataan bersama tanpa sebarang tindakan ekonomi atau diplomatik sebenar hanyalah satu bentuk tekanan kosong yang gagal mengekang kekejaman Israel. – AL JAZEERA

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pelantikan Ketua Pengarah AKPS: KDN percaya Shuhaily orang yang betul

Next Post

Ancaman maut dari kelawar: Virus Nipah kembali merebak di selatan India

Related Posts