Islam Wasatiy perlu dibawa ke semua paksi nasional – MUIS

BANGI, 27 MUHARRAM – Peranan ulama dalam negara perlu dikembalikan ke landasan sebenar, bukan sekadar terbatas kepada hukum-hakam dan ibadah khusus semata-mata.

Yang Dipertua Muafakat Ilmuan Islam (MUIS), Datuk Zamri Hashim berkata, realiti masyarakat Malaysia hari ini menyaksikan kedudukan ulama semakin terpinggir daripada paksi kuasa nasional, malah pandangan mereka dalam urusan kenegaraan sering dianggap seolah-olah di luar bidang.

“Ini disebabkan oleh sistem negara yang sedia ada, memaksa masyarakat melihat Islam secara juz’ie dan seterusnya sistem negara juga memencilkan peranan ulama hanya dalam hukum-hakam dan ibadah khusus sahaja,” katanya dalam ucapan dasar sempena Multaqa Asatizah anjuran MUIS.

Justeru, beliau menegaskan bahawa satu usaha menyeluruh perlu digerakkan bagi mengembalikan peranan sebenar ulama, serta membawa makna Islam Wasatiy dalam semua paksi nasional.

Katanya, langkah ini amat penting sebagai satu bentuk intervensi agar ajaran Islam tidak terus menjurang jauh daripada realiti kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu, jelasnya, misi utama MUIS adalah “Mewujudkan Sebuah Institusi Ulama’ Yang Memimpin Islam Wasatiy Di Peringkat Nasional Dan Negeri”, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Unggul 1 (RMU1), manakala visinya adalah untuk mengangkat gagasan pemikiran Islam Wasatiy melalui para asatizah kepada seluruh lapisan masyarakat.

Ustaz Zamri turut mengakui bahawa wujud persoalan dalam kalangan para asatizah mengenai kenapa tema ini diketengahkan ketika ini, dan apakah yang membezakan gagasan Islam Wasatiy MUIS berbanding pihak-pihak lain.

Dalam pada itu, beliau percaya MUIS mempunyai aset besar dalam kalangan asatizah muda yang bakal meneruskan kesinambungan kepimpinan pada masa akan datang.

“Multaqa kali ini menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada asatizah muda yang berjaya menamatkan ijazah sarjana dan kedoktoran,” katanya.

Beliau turut menyeru para asatizah agar kembali ke komuniti masing-masing dan mengambil posisi strategik dalam masyarakat, bagi menyampaikan gagasan Islam Wasatiy dengan lebih meluas dan berkesan.

“Kita kembali ke tempat asal dan mengambil posisi strategik dalam komuniti masing-masing, dan mula membawa idea ummah dan Islam Wasatiy yang kita fahami dan sepatutnya difahami oleh ummah kepada komuniti masing-masing, diselitkan dalam kuliah dan ceramah-ceramah, mencari tokoh-tokoh yang senada dengan kita,” katanya.

Multaqa Asatizah kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila beberapa nama asatizah muda yang menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran diumumkan, sebagai tanda pencapaian dan kesinambungan kepimpinan ilmuan Islam di negara ini.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi negara – Anwar

Next Post

Pengumuman Penghargaan: Rakyat mahu penyelesaian bukan sandiwara – PERKASA

Related Posts