Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 Rejab — Seramai 3,974 mangsa terjejas banjir di Johor setakat 9.10 pagi tadi ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kota Tinggi mencatatkan mangsa paling ramai 1,326 orang terdiri daripada 381 buah keluarga dan berlindung di 14 PPS, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Johor Bahru pula menempatkan 797 mangsa banjir yang terdiri daripada 228 buah keluarga berlindung di lima PPS.
Lima PPS lagi dibuka di Kulai menempatkan 717 mangsa banjir yang terdiri daripada 185 buah keluarga.
Pontian dan Kluang masing-masing mencatatkan 601 dan 533 mangsa banjir yang berlindung di 14 PPS di dua daerah itu terdiri daripada 323 buah keluarga.
Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Mutiara di Johor Bahru dengan 365 orang terdiri daripada 99 buah keluarga.
Satu PPS pula dibuka di Tawau, Sabah semalam menempatkan 598 mangsa yang terdiri daripada 81 buah keluarga ditempatkan di Kompleks Sukan Tawau.
Empat lagi negeri yang turut terjejas banjir ialah Terengganu dengan 54 mangsa, Kedah (51), Perak (31) dan Sarawak (18).
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: