BANGI, 26 MUHARRAM – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut pengisytiharan teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih
Beliau berkata, saman itu menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dan difailkan bagi memperoleh pengisytiharan Mahkamah bahawa teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan merupakan teks sahih yang mengatasi versi bahasa Inggeris.
“Dalam kapasiti peribadi, saya telah memfailkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, melalui firma peguamcara Tetuan Ahmad Fuad Abi & Aidil.
“Pemfailan saman ini berasaskan kepada Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa jika dan apabila Perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih.
“Selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Haniff, meskipun Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan teks Bahasa Kebangsaan Perlembagaan Persekutuan pada 29 September 2003, namun sehingga kini lebih dua dekad selepas pelancaran tersebut, kerajaan masih gagal, enggan atau mengabaikan tanggungjawab untuk menguatkuasakan kedudukan teks berkenaan sebagai versi yang sahih.
Katanya, hal ini merupakan suatu kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk mengambil segala langkah yang sewajarnya dalam melaksanakan proses serta prosedur sistem tadbir urus yang sah, termasuk emartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.
“Adalah sangat tidak munasabah, bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia, tetapi masih lagi tidak memiliki teks sahih Perlembagaan di dalam bahasa kebangsaannya sendiri, selepas lebih enam dekad mencapai kemerdekaan,” katanya.
Justeru itu, Haniff berkata pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan intipati kepada keutuhan semangat patriotisme dirinya sebagai rakyat Malaysia, yang mana terjejas dan akan terus terjejas sekiranya undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, masih tidak dianggap wujud di dalam bahasa kebangsaan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi