BANGI, 26 MUHARRAM – Faktor umur 100 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebabkan Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri berhubung isu Batu Puteh.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan berpendirian bahawa Dr Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
“Kita ambil keputusan kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri yang usianya 100 tahun. Apakah beliau tidak salah? Beliau salah..
“Apakah perlu ambil tindakan? Saya di Jemaah Menteri, saya bersetuju jangan ambil tindakan.
“Jika ambil tindakan, (Ahli Parlimen) Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang akan jerit kata kita tidak adil, tapi saya tanpa membabitkan soal ini kerana usianya sudah 100 tahun.
“Salah besar dalam hal ini, tetapi kita tak payahlah teruskan (ambil tindakan),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata selepas menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada Disember tahun lalu, mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Anwar berkata, kes Batu Puteh tidak sepatutnya berulang dalam tuntutan sempadan maritim di Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia.
“Batu Puteh itu, penyerahannya terlalu mudah, yang sekarang ini diam oleh rakan-rakan saya sebelah sana (pembangkang).
“Ini soal maruah. Kalau Beluran rasa terkesan kerana isu Laut Sulawesi, begitu jugalah Malaysia seluruhnya dan orang-orang Johor dalam soal penyerahan Batu Puteh.
“Kenapa ‘double standard’ dalam hal ini?” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi