MOT dedah punca nahas ragut 15 penuntut UPSI

BANGI, 22 MUHARRAM – Laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), hari ini mendedahkan bas dalam nahas yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan 

Faktor ini dikenal pasti sebagai punca tragedi yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 9 Jun lalu.

Analisis kinematik yang dijalankan mendedahkan, bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, berbanding had ditetapkan iaitu 60km/j.

Kegagalan mematuhi had laju itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan hilang kawalan, kenderaan tergelincir dan terbalik ke kiri jalan.

“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan.

“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin sehingga menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.

Masalah brek

“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.

“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.

“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” kata laporan itu.

Kelemahan sistemik 

Selain dipandu laju, laporan itu menyebut, beberapa faktor penyumbang yang saling berkait juga meningkatkan risiko kejadian serta tahap keparahan akibat.

“Faktor ini mencerminkan kelemahan sistemik merentas aspek reka bentuk jalan, spesifikasi kenderaan, pematuhan industri dan keberkesanan pengawasan.

“Reka bentuk fizikal jalan di lokasi kejadian tidak menyediakan perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.

“Ketiadaan pembahagi fizikal, garisan tengah yang jelas, serta papan tanda amaran yang mencukupi mengurangkan keupayaan pemandu untuk menjangka risiko dengan lebih awal.

“Penghadang jalan jenis W-beam yang digunakan tidak memenuhi keperluan keselamatan semasa dan kegagalan reka bentuk menyumbang secara langsung kepada penembusan struktur ke dalam kabin bas, sekali gus meningkatkan keparahan kecederaan,” katanya.

Laporan itu menyatakan, ketiadaan peranti kawalan kelajuan dan pemantauan seperti peranti had laju (SLD) atau GPS aktif pada kenderaan juga menghalang pengesanan awal dan kawalan terhadap kelajuan berlebihan.

“Kelemahan struktur atas bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” katanya.

Kelemahan struktur tadbir urus

Laporan itu turut mendedahkan berlaku amalan pengendalian tidak sah dan ketidakpatuhan serius terhadap peraturan pelesenan dan keselamatan, termasuk pemajakan lesen tanpa kebenaran serta manipulasi dalam permohonan dokumen pengawalseliaan.

“Penemuan ini mencerminkan kelemahan struktur dalam tadbir urus industri pengangkutan pelancong dengan tahap pematuhan yang rendah dan pengawasan yang tidak mencukupi.

“la turut menunjukkan amalan seumpama ini mungkin berlaku secara lebih meluas sekiranya tidak ditangani dengan pembaharuan kawal selia yang menyeluruh.

Faktor pemandu

“Siasatan turut mengenal pasti kedua-dua pemandu yang terbabit dalam kemalangan ini mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi, termasuk saman belum dijelaskan iaitu 18 saman bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.

“Kegagalan menyaring dan memantau disiplin pemandu secara berkala, seperti yang diwajibkan di bawah Kod Amalan Industri Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) – Keselamatan (ICOP – Keselamatan), menunjukkan kelonggaran sistemik dalam pengurusan risiko oleh pihak pengendali,” katanya.

Amalan itu meletakkan penumpang dan pengguna jalan raya dalam risiko tinggi dan mencerminkan kegagalan serius dalam pengurusan sumber manusia serta pematuhan dalaman.

Siasatan turut mendapati ketiadaan ciri-ciri keselamatan pasif seperti tali pinggang keledar bagi penumpang, manakala kegagalan struktur kabin untuk melindungi ruang penumpang ketika impak turut menyumbang secara langsung kepada tahap kecederaan dan kematian yang tinggi dalam insiden itu.

“Penembusan penghadang jalan ke dalam kabin di zon impak utama, di mana majoriti mangsa berada, adalah faktor fizikal yang kritikal dalam menentukan kebolehselamatan mangsa.

Kelemahan koordinasi agensi kawal selia

“Selain itu, ketiadaan pemantauan proaktif dan kelemahan koordinasi antara agensi kawal selia membolehkan pengendali tidak patuh, terus beroperasi tanpa pengesanan awal.

“Sistem sedia ada dilihat lebih bersifat reaktif dan tidak disokong oleh teknologi pemantauan masa nyata yang menyeluruh.

“Ketidaksepadanan dalam pangkalan data dan mekanisme pengesanan antara agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut menyumbang kepada jurang penguatkuasaan yang membolehkan kelemahan ini berlarutan,” katanya.

Rumusan kemalangan

Justeru, laporan itu mendapati kemalangan itu bukan sahaja berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta kelemahan pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.

“Penemuan mengenai rekod kesalahan trafik yang tinggi dalam kalangan pemandu, serta kegagalan pengendali melaksanakan semakan berkala seperti dikehendaki di bawah ICOP-Keselamatan, turut menguatkan bukti kegagalan tadbir urus di peringkat organisasi.

“Semua faktor ini mencerminkan satu kegagalan sistemik yang memerlukan pembaharuan menyeluruh oleh semua pihak yang terbabit dalam ekosistem pengangkutan awam,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Negara berdepan kemerosotan ekonomi yang semakin parah – Muhyiddin

Next Post

1,600 hektar rizab Melayu di Selangor ‘belum diganti’: Siapa bertanggungjawab?

Related Posts