BANGI, 20 MUHARRAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui perjuangan menentang rasuah bukan sesuatu yang mudah, khususnya apabila ia membabitkan golongan elit yang mempunyai kuasa.
Beliau berkata, usaha membanteras rasuah menuntut keberanian dan pendirian tegas daripada semua pihak demi memastikan prinsip keadilan dan ketelusan tidak tergadai.
“Perjuangan menentang rasuah bukan mudah lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan elit berkuasa, namun ia adalah tanggungjawab bersama yang menuntut keberanian, kesatuan, dan pendirian tegas demi keadilan dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika berucap International Conference On Governance And Integrity 2025 di Putrajaya, semalam.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata, Malaysia komited dengan pertumbuhan inklusif dan lestari yang digerakkan melalui tadbir urus baik serta ekonomi dinamik untuk semua.
“Perjuangan kita menentang rasuah adalah mutlak dan penting untuk memulihkan integriti, melindungi kepentingan awam, dan membina semula kepercayaan rakyat,” ujarnya.
Katanya, kerajaan juga menetapkan sasaran untuk membawa Malaysia ke kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 menerusi pelaksanaan Strategi Anti-Rasuah Nasional.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia kini diberi amanah untuk menerajui Perhimpunan International Anti-Corruption Academy (IACA) buat kali pertama, dan akan terus memainkan peranan aktif di pentas antarabangsa.
“Kita tekad untuk memimpin dengan teladan dalam memperkukuh tadbir urus dan usaha anti-rasuah di peringkat global,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi