Prasarana kesal penumpang maut, sedia tambah polis bantuan

Oleh Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, 26 SYAABAN — Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kesal dengan kejadian penumpang terjatuh dan meninggal dunia di Stesen LRT Titiwangsa minggu lalu.  

 

Syarikat pengendali bas dan tren itu berkata Prasarana akan memberikan bantuan ihsan sewajarnya kepada keluarga mangsa dalam menghadapi saat yang sukar ini. 

 

“Prasarana mengambil tindakan segera untuk meningkatkan aspek keselamatan bagi semua pengguna rel terutamanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

 

“Ia dengan menambah bilangan anggota polis bantuan di stesen yang tidak mempunyai pintu platform automatik (PSD) dan bilangan penumpang OKU yang tinggi.

 

“Penambahan anggota polis bantuan ini untuk mempertingkatkan pemantauan di platform bagi memberi pertolongan kepada pengguna khususnya OKU dan warga emas,” katanya. 

 

Syarikat itu berkata demikian dalam satu kenyataan semalam mengulas insiden penumpang OKU penglihatan yang terjatuh dari platform dan meninggal dunia. 

 

Katanya, Prasarana juga akan menambah baik tatacara pengendalian operasi (SOP) bagi meningkatkan mutu pemantauan khususnya di platform.

 

“Prasarana sedang dalam proses menaiktaraf kepada kamera litar tertutup pintar atau SMART CCTV yang berupaya mengesan perilaku aneh dan berisiko. 

 

“Langkah ini dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden khususnya di platform. 

 

“Kerja-kerja pemasangan kamera dijangka akan siap pada hujung tahun ini secara berperingkat bermula dengan laluan Monorel sebelum diteruskan ke laluan lain,” katanya.

 

Prasarana berkata fungsi PSD amat penting bagi mengelak pengguna turun atau terjatuh ke atas landasan dengan pemasangan PSD Monorel siap pada penghujung tahun lepas.

 

Katanya, satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan hasil laporan tersebut akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan.

 

“Sebagai sebuah penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang prihatin, Prasarana komited untuk memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan mesra OKU. 

 

“Prasarana akan melipat ganda sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa.

 

“Kami menyeru semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan, khususnya OKU mendapatkan khidmat daripada petugas stesen sebelum menaiki tren,” katanya. 

 

Ikuti media sosial TV PERTIWI:

 

https://x.com/TvPertiwi

https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/

https://t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tahanan Palestin dedah tentera Israel ludah, pijak makanan

Next Post

Nazri: Dr Akmal malu besar Wisma Putra enggan panggil Duta AS

Related Posts