Hamas sedia bebaskan 10 tebusan, Israel masih gagalkan rundingan gencatan senjata

GAZA, 14 MUHARRAM –  Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyatakan kesediaan untuk membebaskan 10 tebusan Israel sebagai sebahagian daripada usaha ke arah gencatan senjata di Semenanjung Gaza, meskipun rundingan masih dikatakan sukar akibat kedegilan dan syarat keras yang dikenakan oleh pihak Israel.

Kenyataan itu dikeluarkan pada hari Rabu, ketika tentera Israel yang terus menggila membunuh sekurang-kurangnya 74 rakyat Palestin di Gaza. 

Dalam masa sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi menyuarakan harapan agar gencatan senjata dapat dicapai dalam masa terdekat.

Menurut Hamas, rundingan yang dikendalikan oleh Qatar dan Amerika Syarikat masih menghadapi beberapa halangan besar, termasuk isu kemasukan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, pengunduran penuh tentera Israel, dan jaminan tulen terhadap gencatan senjata kekal.

Jurucakap Hamas, Taher al-Nunu berkata, pihaknya telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata terkini yang dikemukakan.

“Kami menunjukkan kelonggaran yang perlu demi melindungi rakyat kami, menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai, serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk secara bebas dan bermaruah, sehingga perang ini benar-benar berakhir,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kawasan yang perlu dikosongkan oleh tentera Israel dalam fasa pertama gencatan senjata mesti ditentukan secara adil agar tidak menjejaskan kehidupan rakyat Palestin, malah menjadi asas kepada rundingan damai yang sebenar.

Difahamkan, Donald Trump telah mengadakan dua pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu minggu ini dalam usaha memuktamadkan rundingan. Namun, retorik harapan Trump jelas semakin longgar.

Wartawan Al Jazeera, Patty Culhane yang membuat liputan dari Washington DC berkata, Trump dilihat kurang tegas terhadap Israel selepas pertemuan dengan Netanyahu.

“Pembantu Trump mendakwa hanya satu isu masih belum selesai, tetapi Hamas menafikannya. Mereka masih menuntut jaminan gencatan senjata kekal selepas 60 hari, persetujuan kawasan pengunduran tentera, dan siapa yang akan mengurus agihan bantuan,” jelasnya.

Ketua Tentera Israel, Eyal Zamir pula mendakwa bahawa “keadaan telah dicipta” untuk membolehkan pembebasan 10 tebusan masih hidup serta sembilan mayat. 

Namun dalam masa yang sama, serangan Israel ke atas Gaza tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda. – AL JAZEERA

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hospital Gaza lumpuh, lebih 100 bayi pramatang berisiko maut

Next Post

Netanyahu tetapkan syarat Hamas letak senjata sebelum rundingan tamatkan perang

Related Posts