Australia kecam genosid Israel, iktiraf negara Palestin sebagai bantahan keras

SYDNEY, 18 SAFAR – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berada dalam keadaan “penafian” terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, sehari selepas mengumumkan bahawa negaranya akan mengiktiraf sebuah negara Palestin.

Australia akan mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan, kata Albanese, langkah yang menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel selepas pengumuman serupa dibuat oleh Perancis, Britain dan Kanada.

Albanese berkata, keengganan kerajaan Netanyahu untuk mendengar nasihat sekutu turut menyumbang kepada keputusan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin.

“Beliau sekali lagi mengulangi kepada saya apa yang telah beliau nyatakan secara terbuka, iaitu menafikan akibat yang sedang dialami oleh orang awam yang tidak bersalah,” kata Albanese dalam temu bual bersama stesen televisyen ABC, merujuk kepada panggilan telefon dengan Netanyahu pada Khamis lalu berhubung isu itu.

Keputusan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin adalah bersyarat, termasuk komitmen Pihak Berkuasa Palestin bahawa kumpulan militan Islam Hamas tidak akan terlibat dalam mana-mana negara Palestin pada masa depan.

Ketua pembangkang berhaluan kanan, Sussan Ley, berkata langkah itu yang memecahkan dasar dwipartisan lama berhubung Israel dan wilayah Palestin, berisiko menjejaskan hubungan Australia dengan Amerika Syarikat.

Perubahan Sentimen

Albanese berkata, sehingga dua minggu lalu beliau belum menetapkan garis masa untuk pengiktirafan negara Palestin.

Parti Buruh tpimpinannya, yang memenangi majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum, Mei lalu, sebelum ini berhati-hati agar tidak memecahbelahkan pendapat awam di Australia yang mempunyai komuniti minoriti Yahudi dan Muslim yang signifikan.

Namun, sentimen awam berubah secara mendadak selepas Israel merancang mengambil alih kawalan ketenteraan Gaza, ketika laporan yang semakin meningkat mengenai kelaparan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan penduduk wilayah itu.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak melintasi Jambatan Pelabuhan Sydney bulan ini menuntut penghantaran bantuan ke Gaza ketika krisis kemanusiaan semakin memburuk.

“Keputusan ini didorong oleh sentimen popular di Australia yang telah berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan majoriti rakyat Australia mahu melihat pengakhiran segera kepada krisis kemanusiaan di Gaza,” kata Jessica Genauer, pensyarah kanan hubungan antarabangsa di Universiti Flinders.

Ketua pembangkang, Ley berkata, keputusan itu “tidak menghormati” sekutu utama Amerika Syarikat, yang menentang penubuhan negara Palestin.

“Kami tidak akan mengambil langkah ini kerana ia bercanggah sepenuhnya dengan prinsip kami, iaitu pengiktirafan dan penyelesaian dua negara hanya berlaku pada akhir proses damai, bukan sebelumnya,” katanya dalam temu bual dengan stesen radio 2GB.

Negara jiran, New Zealand pula berkata, masih mempertimbangkan sama ada akan mengiktiraf negara Palestin, keputusan yang menerima kritikan keras daripada bekas Perdana Menteri, Helen Clark.

“Ini adalah situasi bencana, dan di sini kita di New Zealand masih berdebat tentang perkara teknikal, sama ada kita patut mengiktiraf atau tidak, sedangkan kita sepatutnya menambah suara untuk menghentikan bencana ini,” katanya dalam temu bual dengan stesen televisyen RNZ.

“Ini bukan New Zealand yang saya kenali.” – REUTERS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

31 kes buli di 8 universiti awam sepanjang 11 tahun lalu

Next Post

Bangladesh harap Malaysia terus sedia terima tenaga kerjanya

Related Posts