Hamas kaji cadangan gencatan senjata, desak penamatan perang Gaza

GAZA, 7 MUHARRAM – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti beberapa cadangan baharu untuk gencatan senjata di Gaza, namun menegaskan sebarang persetujuan mestilah membawa kepada penamatan penuh terhadap perang zalim yang dilancarkan rejim pengganas Israel.

Dalam kenyataan rasmi pada Rabu, Hamas berkata, mereka telah menerima cadangan daripada beberapa pihak perantara dan kini sedang menjalankan rundingan untuk “merapatkan jurang”, demi kembali ke meja rundingan dan mencapai satu persetujuan yang adil serta menyeluruh.

Hamas menegaskan, matlamat utama mereka bukan sekadar menghentikan pertempuran buat sementara, tetapi memastikan perang ini ditamatkan sepenuhnya dan tentera pendatang Zionis berundur sepenuhnya dari bumi Gaza.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan bahawa Israel telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza. Trump juga menggesa Hamas menerima cadangan itu sebelum situasi kemanusiaan menjadi lebih parah.

Trump kini dilaporkan meningkatkan tekanan terhadap kedua-dua pihak – Israel dan Hamas – untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tahanan Israel yang ditahan di Gaza. Menurut beliau, tempoh 60 hari itu adalah ruang untuk merangka penamatan perang.

Namun, kerajaan penjajah Israel tetap bertegas bahawa mereka tidak akan menghentikan serangan selagi Hamas belum dikalahkan sepenuhnya.

Kenyataan Hamas yang meletakkan syarat penamatan perang sebagai asas sebarang persetujuan menimbulkan persoalan sama ada cadangan terkini benar-benar boleh menjurus kepada penghentian pertempuran yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin.

Tidak lama selepas kenyataan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara angkuh menegaskan bahawa “tiada lagi Hamas” akan dibenarkan wujud di Gaza selepas perang ini.

Menurut laporan agensi berita Amerika Syarikat, Axios, beberapa pegawai kanan Israel memberi amaran bahawa tentera rejim akan meluaskan operasi ketenteraan sekiranya tiada kemajuan dalam rundingan gencatan senjata.

“Kami akan lakukan kepada Bandar Gaza dan kem-kem pusat seperti mana kami lakukan di Rafah. Semuanya akan menjadi debu.

“Ini bukan pilihan utama kami, tetapi jika tiada perkembangan dalam rundingan pembebasan tebusan, kami tiada pilihan lain,” kata seorang pegawai kanan Israel kepada Axios.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata, setiap peluang untuk membebaskan tahanan Israel tidak boleh dilepaskan, sambil menambah bahawa cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat itu mendapat sokongan besar dalam kalangan Kabinet Israel serta rakyat umum.

Bagaimanapun, cadangan itu belum mendapat sokongan terbuka daripada Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich – dua tokoh ekstremis kanan dalam kerajaan Zionis.

Dalam perkembangan berkaitan, wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud yang membuat liputan dari Bandar Gaza, melaporkan bahawa rakyat Palestin semakin hilang kepercayaan terhadap cadangan gencatan senjata yang sering kali tidak membawa hasil.

“Ada laporan utama yang membayangkan kemungkinan satu persetujuan dan pengakhiran kepada pembunuhan beramai-ramai, tetapi realiti di lapangan menunjukkan cerita yang sangat berbeza. Secara purata, antara 100 hingga 120 rakyat Palestin terbunuh setiap hari.

“Jadi bagi ramai orang, apa yang berlaku sekarang dilihat sebagai satu bentuk hipokrasi. Jika benar mahu wujudkan gencatan senjata, maka perlu diwujudkan syarat-syarat ke arah itu, bukan terus meningkatkan keganasan seperti yang sedang berlaku di lapangan,” katanya.

Sehingga kini, lebih 38,000 rakyat Palestin telah syahid dalam serangan berterusan rejim Zionis sejak Oktober lalu, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala ratusan ribu lagi hidup dalam kebuluran, kepungan dan trauma yang berpanjangan. – Al Jazeera

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pengarah Hospital Indonesia dan keluarga terbunuh dalam serangan Israel

Next Post

Anak PM ikut misi diplomatik: Pemuda PAS dakwa wujud nepotisme dalam kerajaan Madani

Related Posts