Badan Peguam Malaysia bimbang ketidaktentuan pelantikan Ketua Hakim Negara

BANGI, 4 MUHARRAM — Badan Peguam Malaysia melahirkan kebimbangan mendalam terhadap ketidaktentuan dan ketiadaan kejelasan berhubung persaraan Ketua Hakim Negara yang hanya tinggal sehari lagi. 

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pelantikan pengganti atau sama ada tempoh perkhidmatan Ketua Hakim sedia ada akan dilanjutkan.

Menurutnya, sikap berdiam diri dan ketidaktentuan membabitkan jawatan tertinggi badan kehakiman tidak dapat dipertahankan kerana bukan sahaja satu kelalaian pentadbiran, malah mewujudkan risiko menjejaskan keyakinan awam serta membuka ruang kepada spekulasi dan andaian tidak sihat.

“Jawatan Ketua Hakim Negara bukan sekadar simbolik. Ia adalah teras kepada integriti, kebebasan dan kelancaran fungsi keseluruhan sistem kehakiman,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Ezri berkata, pihaknya tidak pernah mengambil pendirian untuk menyokong atau membantah mana-mana pelantikan atau lanjutan tempoh perkhidmatan hakim, sebaliknya berpegang kepada prinsip untuk tidak mempengaruhi proses pelantikan.

Namun, katanya Badan Peguam menegaskan wajib bersuara apabila kesenyapan institusi mengancam kebebasan badan kehakiman.

Malaysia, katanya mempunyai duluan jelas dalam mengurus peralihan kepemimpinan kehakiman termasuk melalui pelantikan pemangku apabila perlu.

Katanya, keadaan sekarang adalah luar biasa kerana dengan kurang 48 jam sebelum persaraan Ketua Hakim, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, Badan Peguam turut  mengambil perhatian terhadap kenyataan Perdana Menteri yang menekankan kepentingan memelihara badan kehakiman daripada campur tangan politik dan menyokong sepenuhnya prinsip bahawa pelantikan kehakiman mesti bebas daripada lobi atau tekanan luar.

“Seruan kami agar kejelasan diberikan dibuat dengan niat baik dan selaras dengan tanggungjawab kami untuk menegakkan kesinambungan institusi dan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Badan Peguam menggesa pihak berkuasa supaya segera mengumumkan langkah yang akan diambil sama ada lanjutan tempoh perkhidmatan atau pelantikan baru, mengikut Perlembagaan dan proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Kebebasan badan kehakiman bukan sekadar cita-cita yang dipuji dalam ucapan; ia mesti dilindungi melalui tindakan dan keputusan yang membina keyakinan, bukan kecurigaan,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tanah kubur, bergambar? Ambillah ibrah, kematian bukan bahan tontonan

Next Post

Trump perbesarkan kesan serangan AS – Khamenei

Related Posts