Ketidaktentuan Timur Tengah sukarkan rasionalisasi subsidi RON95

BANGI, 28 ZULHIJJAH — Kerajaan dijangka berada dalam dilema sekiranya konflik peperangan dan ketidaktentuan di Timur Tengah berterusan, sekali gus menyukarkan pelan rasionalisasi minyak RON95 yang dijangka pada pertengahan tahun kedua.

Penganalisis maritim, Nazery Khalid berkata, ini kerana penutupan Selat Hormuz bakal melonjakkan harga minyak dunia, mengakibatkan menaikkan kos import petroleum negara.

“Malaysia mengimport kira-kira 60% bekalan petroleum dari Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi yang melalui Selat Hormuz.

“Jika harga minyak melonjak kepada AS$130 (RM552) setong, harga minyak RON95 akan meningkat mendadak tanpa subsidi yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup jika rasionalisasi subsidi diteruskan,” katanya kepada TV Pertiwi.

Sebagai rekod, harga minyak setong kini adalah pada AS$67 (RM284) setong manakala harga terkini minyak RON95 ialah RM2.05 seliter dengan subsidi. 

Justeru, Nazery berkata kerajaan perlu menarik rambut dalam tepung dalam meneruskan rancangan rasionalisasi subsidi tersebut. 

Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu berkata langkah itu mampu menjimatkan kira-kira RM8 bilion setahun.

“Jika subsidi RON95 dikekalkan, kos subsidi akan meningkat selari dengan kenaikan kos import, jadi hasrat asal kerajaan dalam menguruskan disiplin fiskal akan terjejas,” tambahnya. 

Kerajaan pimpinan Anwar sebelum ini memansuhkan subsidi pukal diesel di Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan beban fiskal kerajaan. 

Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, Malaysia mengimport RM63.5 bilion minyak mentah, dengan RM25.8 bilion (40.6%) datang dari Saudi dan RM13.7 bilion (21.6%) dari UAE.

Parlimen Iran baru-baru ini membuat keputusan menutup selat tersebut yang merupakan pintu masuk paling penting industri minyak dan gas, dengan 30% bekalan minyak dunia dihantar melalui Selat Hormuz yang memisahkan Iran dan Oman.

Tindakan itu diambil selepas Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga fasiliti nuklear Iran dalam satu operasi yang diumumkan oleh Presidennya, Donald Trump ketika ketegangan memuncak antara Iran dan negara haram Israel.  

Nazery yang merupakan Profesor Adjung Fakulti Kejuruteraan Kelautan di Universiti Malaysia Terengganu berkata, konflik Iran-Israel membawa impak yang lebih kritikal terhadap harga minyak berbanding perang AS-Iraq pada 2003.

“Perang Iraq tamat dalam tempoh beberapa minggu. Pada masa yang sama, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan pengeluaran, jadi bekalan minyak tidak terlalu terjejas,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Syed Saddiq bebas, ketepikan hukuman dan sabitan

Next Post

Aktivis sosial cabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Putrajaya esok

Related Posts