Perang Iran-Israel: Episod terbaru Perang Salib Moden

Sejarah bagi yang enggan belajar daripadanya, ibarat ulang tayang penuh keperitan.

Hari ini, apabila bumi Tehran bergemuruh dihujani peluru berpandu, bandar-bandar Gaza seperti `padang jarak padang tekukur’ akibat bedilan besar-besaran tentera Zionis Israel, kita sebenarnya sedang menyaksikan satu lagi bab dalam naskhah panjang yang boleh saya sebut sebagai Perang Salib Moden.

Melihat perspektif yang lebih besar, Perang Iran-Israel bukan hanya mengenai nuklear atau peluru berpandu. Ia adalah rentetan konflik geopolitik yang bermula lebih seabad lalu, ketika dunia Islam dipecah-belah oleh kuasa Barat.

Ramai mungkin lupa, kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah pada 1924 bukan sekadar kejatuhan sebuah kerajaan, tetapi titik permulaan penguasaan Barat ke atas dunia Islam. Perjanjian Sykes-Picot 1916 memecah-belah bumi Arab menjadi negara yang dipetakkan mengikut kepentingan imperialis, bukan mengikut bangsa, apatah lagi mengikut ummah.

Deklarasi Balfour 1917 yang membawa kepada kewujudan negara haram Israel pula adalah hadiah politik Barat kepada gerakan Zionis, dengan niat jelas untuk menanam ‘duri berbisa’ kekal di tengah jantung dunia Islam. Sejak itu, rantau itu tidak pernah aman.

Hari ini, konflik Iran-Israel yang meletus bukan hanya mengenai survival dua negara. Ia adalah proksi kepada perebutan pengaruh di Timur Tengah. Iran, suka atau tidak adalah satu-satu negara Islam yang tidak tunduk sepenuhnya kepada hegemoni Barat. Sama ada kita bersetuju dengan sistem politiknya atau tidak, hakikatnya Iran berani mengangkat suara, sama ada dalam isu Palestin, Syria, Iraq mahu pun Yaman.

Israel dengan sokongan membabi buta Amerika Syarikat dan sekutu Barat lain, sentiasa mencari alasan untuk mengukuhkan dominasinya. Apa sahaja usaha yang dilihat untuk menyaingi kekuatan ketenteraan rejim Zionis, sama ada oleh Iran, Hizbullah atau Hamas akan dihapuskan dengan restu kuasa besar.

Perang yang berlaku kini lebih rumit, berbanding yang dilihat di kaca televisyen. Ketika peluru berpandu Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran, ketika Trump berteka-teki sama ada AS akan campur tangan secara langsung, pasaran minyak dunia bergoncang.

Pada masa sama, syarikat berkaitan pembuatan senjata seperti Lockheed Martin, Raytheon, Boeing Defence, Northrop Grumman  di Wall Street tersenyum. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, bermain api dari jauh, tanpa peluru jatuh di atas tanah mereka.

Dunia Islam seperti biasa masih berpecah. Turkiye punya agenda sendiri. Negara Arab Teluk lebih tertarik dengan `normalisasi’ yang disorok di balik tabir. Mesir diam membisu demi menjaga hubungan dengan Barat. Kewujudan Pertubuhan Kerjasama Islam mungkin menepati akronimnya, OIC (Oh i see atau Oh begitu). Maaf saya katakan, OIC sekadar jasad tanpa semangat atau seperti harimau tanpa taring dan berkuku. 

Ironinya, ramai pemimpin dunia Islam terus memandang Barat sebagai rujukan, sedangkan setiap kali krisis meletus, kuasa Barat adalah antara pemangkin utama. Apabila bom digugurkan, mereka bercakap soal mengurangkan ketegangan. Apabila kanak-kanak syahid, mereka bercakap soal hak asasi.

Di sebalik semua ini, siapa yang benar-benar menderita? Anak-anak Palestin, ibu-ibu di Tehran, orang tua di Aleppo. Mereka yang menanggung harga paling mahal dalam konflik yang tidak berkesudahan ini.

Persoalannya, adakah dunia Islam akan terus menjadi penonton?

Sudah berapa kali sejarah mengajar kita? Perang Salib, Perang Dunia Pertama dan Kedua, pencerobohan Iraq dan tragedi Syria, skripnya hampir sama, iaitu pecah-belahkan dunia Islam, kuasai minyak dan hasil bumi, menjadikan umat Islam medan percaturan senjata dan geopolitik.

Hari ini, kita kononnya hidup pada era moden, era teknologi. Namun secara politik, dunia Islam masih diikat pada rantai lama. Masih tiada blok ketenteraan Islam yang bersatu. Masih tiada pakatan ekonomi yang boleh menyaingi Barat. Masih mengemis diplomasi di meja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), institusi yang saban kali gagal melindungi Palestin.

Konflik Iran-Israel hanya satu lagi episod sedih umat Islam. Selagi dunia Islam tidak mempunyai kekuatan sendiri dari segi ketenteraan, ekonomi, sains, teknologi dan diplomasi, maka kita akan terus menjadi mangsa.

Hari ini Iran, esok siapa pula?

Sejarah akan terus berulang.

Oleh: Ziauddin Sharuddin, Pengarang TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JALAN RAYA BUKAN TANAH PERKUBURAN: DI MANA SILAP KITA?

Next Post

Mohd Khalid dilantik Ketua Polis Negara baharu

Related Posts