BANGI, 12 ZULHIJJAH — Bukit Aman akan menubuhkan pasukan khas teknikal untuk menyiasat kemalangan tragik yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasukan itu membabitkan pelbagai agensi bagi membantu melengkapkan siasatan secara menyeluruh dan menyegerakan pendakwaan terhadap pemandu terbabit.
Mengikut laporan Berita Harian, antara agensi terbabit dalam pasukan teknikal khas itu ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Polis Gerakan Udara (PGU).
Katanya, pembabitan pelbagai agensi itu penting bagi memastikan semua aspek siasatan meliputi keadaan bas, pemandu, penyelenggaraan dan faktor lain dapat diteliti secara terperinci.
“Maklumat berkaitan keadaan bas dan pemandu akan diperoleh menerusi pasukan teknikal khas yang ditubuhkan ini.
“Kita juga akan menekankan aspek keselamatan jalan raya dalam siasatan ini, memandangkan hari ini adalah hari terakhir Op Lancar sempena musim perayaan ini.
“Jadi, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati dalam pemanduan, terutama ketika pulang ke destinasi masing-masing selepas musim perayaan,” katanya di Gerik, hari ini.
Mengulas siasatan kes itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya akan melihat kepada semua sudut termasuk latar belakang pemandu terbabit dan sejarah serta keadaan teknikal bas berkenaan.
“Untuk siasatan awal, kita akan menyiasat pelbagai sudut daripada rekod pemandu, latar belakangnya dan apa kegiatan dia sebelum ini ataupun apa kerjayanya sebelum jadi pemandu bas.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dari pelbagai sudut untuk mempercepatkan
pertuduhan ke mahkamah dengan lancar dan sempurna,” katanya.
Mohd Yusri berkata, orang ramai yang mempunyai bukti atau sebarang maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil kepada polis bagi membantu siasatan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi