Keluar UMNO: Tengku Zafrul serah keputusan Kabinet kepada PM

BANGI, 12 ZULHIJJAH — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kedudukannya dalam Kabinet.

Beliau yang mengumumkan keluar dari UMNO akhir bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR menyatakan kesediaan untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti.

“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” katanya dalam kenyataan pertama selepas pulang menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah, hari ini. 

Sebaik pulang ke tanah air, Tengku Zafrul menyatakan terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan keputusannya berundur dari UMNO dan memohon menyertai PKR.

Menjawab desas-desus mengenai penyertaan dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK), baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri, katanya tiada sebarang perbincangan tentang perkara itu pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan ini.

“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember depan. 

Mengulas mengenai keputusan untuk berundur dari UMNO, katanya itu adalah pilihan peribadi sepenuhnya dan bukan atas sebarang paksaan.

“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.

“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya.

Tengku Zafrul mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, seluruh akar umbi, terutama di Bahagian Kota Raja, dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempohnya bersama parti itu.

“Doakan saya terus istiqomah dalam perjuangan berbekal semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci Makkah,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pasukan khas teknikal siasat kemalangan babit pelajar UPSI 

Next Post

‘Hanya mahu cari bantuan tapi ditembak, Gaza terus berdarah’

Related Posts