GEORGETOWN, 1 ZULHIJJAH – Tiga lelaki warga China dan seorang wanita warga Vietnam direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung pembabitan mereka dalam sindiket penipuan pelaburan.
Perintah reman terhadap keempat-empat suspek, berusia antara 21 hingga 34 tahun, dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini sehingga 1 Jun depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Memetik Harian Metro, sindiket yang mula beroperasi sejak Mac lalu itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Republik China menerusi beberapa aplikasi media sosial seperti Telegram, Potato, WeChat dan QQ.
Mangsa kemudiannya akan diberikan pautan laman web palsu sebelum diarahkan membuat pembayaran, termasuk menggunakan kod QR yang disediakan sindiket.
Difahamkan, semua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di kawasan Pulau Tikus, semalam, oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Serbuan itu berjaya membongkar kegiatan tiga lelaki warga China yang disyaki berperanan sebagai operator sindiket dan dipercayai menerima pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM20,000 hasil aktiviti haram tersebut.
Turut dirampas dalam serbuan ialah sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba, seutas jam tangan jenama Rolex, wang tunai berjumlah RM80,455 serta 900 Yuan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi