BANGI, 1 ZULHIJJAH — Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menzahirkan kebimbangan dan membantah keras dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia.”
Ini berikutan dokumen berkenaan mengandungi cadangan-cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai-nilai Islam serta kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera yang dijamin oleh undang-undang.
Timbalan Pengerusi PEMBELA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, gabungan yang dianggotai lebih 120 NGO Islam seluruh negara menyifatkan kandungan yang dikemukakan oleh gabungan Civil Society Organizations (CSO) ASEAN sangat membimbangkan.
Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk memisahkan agama dari negara, pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi LGBTQIA+, ratifikasi semula ICERD (Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) serta melonggarkan dasar kewarganegaraan secara automatik tanpa tapisan yang merupakan bentuk ancaman terhadap asas kenegaraan dan peruntukan-peruntukan utama dalam Perlembagaan.
Dalam Seksyen 3.2 dokumen itu, katanya CSO ASEAN mencadangkan: “Ensure separation of religion and state…” yang jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Beliau menyifatkan cadangan itu adalah usaha terselindung dan terancang yang mahu menukar identiti negara ke arah menjadi sebuah negara sekular yang menafikan peranan Islam dalam pentadbiran kerajaan dan urusan kenegaraan.
“Seksyen 3.13 pula menyarankan pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi untuk LGBTQIA+ yang bertentangan secara jelas dengan hukum dan undang-undang Islam serta norma masyarakat Malaysia.
“Undang-undang syariah di negeri-negeri mengharamkan perlakuan liwat dan transgender, manakala Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes Sulaiman bin Takrib vs Kerajaan Negeri Terengganu mengesahkan bahawa ajaran yang bercanggah dengan agama Islam boleh dihadkan dan diharamkan,” katanya dalam kenyataan media.
Shuhaib Ar-Rumy berkata, cadangan untuk ratifikasi semula ICERD yang ditolak secara besar-besaran oleh rakyat Malaysia pada 2018 kini muncul semula dalam Seksyen 3.5 dokumen itu dan adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perkara 153 Perlembagaan yang melindungi hak istimewa Melayu dan Bumiputera, selain merupakan serangan langsung ke atas kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.
Selain itu, katanya Seksyen 3.7 mengandungi cadangan agar setiap anak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa warga Malaysia diberikan kewarganegaraan secara automatik, tanpa mengira status perkahwinan atau tempat lahir bakal membuka pintu kepada kebanjiran kewarganegaraan tanpa tapisan dan akan melemahkan kedaulatan undang-undang negara.
Beliau menegaskan bahawa PEMBELA menolak sebarang cubaan membawa masuk prinsip hak asasi manusia yang berasaskan acuan Barat dan tidak berpaksikan Islam, budaya Melayu dan norma masyarakat Malaysia yang mempunyai kerangka hak asasi tersendiri yang dibina atas asas undang-undang Islam dan maqasid syariah.
“Dokumen ini jelas tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. Ia adalah suara sekelompok pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memaksakan fahaman liberal mereka ke atas negara ini tanpa menghormati sejarah dan sensitiviti agama dan kaum yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, PEMBELA meminta kerajaan Malaysia, terutama Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menolak sekeras-kerasnya cadangan-cadangan yang bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan peranan Malaysia dalam ASEAN mesti berpaksikan Islam sebagai agama negara dan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera tanpa menafikan hak agama dan kaum lain sebagai asas bagi keamanan yang kita nikmati pada hari ini.
Selain itu, katanya PEMBELA meminta seluruh NGO Islam, tokoh masyarakat, ahli akademik dan umat Islam seluruh negara untuk bersatu menolak dokumen itu secara sah dan berhemah, demi mempertahankan maruah negara daripada anasir asing yang ingin merosakkan struktur masyarakat dan negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi