KHARTOUM, 30 Zulkaedah — Kementerian Kesihatan Sudan melaporkan peningkatan mendadak kes kolera di negara yang sedang dilanda konflik itu, dengan lebih 2,700 jangkitan dan 172 kematian dicatatkan dalam tempoh seminggu lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, 90 peratus daripada kes tersebut dilaporkan berlaku di negeri Khartoum — kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan elektrik yang teruk akibat serangan dron yang disasarkan ke atas loji rawatan air oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF)- yang sedang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023.
Kementerian turut memaklumkan bahawa stesen rawatan air yang menjadi sasaran serangan kini tidak lagi mampu membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan terbabit, sekali gus memburukkan lagi penularan wabak penyakit berjangkit.
Wabak kolera sememangnya endemik di Sudan, namun sejak tercetusnya perang, infrastruktur kesihatan serta kemudahan air dan sanitasi yang sedia rapuh kini semakin lumpuh, menyebabkan wabak menjadi lebih parah dan kerap berlaku.
Minggu lalu, kementerian memaklumkan bahawa seramai 51 individu maut akibat kolera daripada lebih 2,300 kes yang direkodkan dalam tempoh tiga minggu sebelumnya, dengan 90 peratus daripadanya juga berlaku di negeri Khartoum.
Difahamkan, RSF melancarkan beberapa serangan dron ke seluruh Khartoum bulan ini, termasuk ke atas tiga stesen jana kuasa utama, sebelum kumpulan itu akhirnya diusir sepenuhnya daripada kedudukan terakhir mereka di ibu negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi