Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 17 Rejab — Presiden Turkiye mendesak Israel menghentikan serangan di Syria ekoran penubuhan kerajaan baharu di bawah Ahmed Al-Sharaa.
Recep Tayyip Erdogan berkata pemberontak di Syria juga digesa meletakkan senjata demi proses peralihan kerajaan yang lebih lancar, lapor Anadolu.
“Bermula dengan Israel, pasukan yang menyerang wilayah Syria mesti menghentikan serangan. Jika tidak, semua pihak akan menerima padah.
“Semuanya mesti berundur. Bersama dengan saudara kita di Syria, kita akan tumpaskan Daesh, YBG dan kumpulan pengganas lain,” katanya ketika berucap di Ankara.
Erdogan berkata YPG kumpulan yang disokong Amerika Syarikat (AS) perlu meletakkan senjata jika tidak mahu menerima padah.
“Kumpulan pengganas YPG yang turut merompak sumber asli Syria akan menerima padah jika tidak dibubarkan dan meletakkan senjata.
“Sekarang masalah paling serius di Syria adalah kumpulan pengganas YPG yang masih menguasai satu pertiga negara.
“Saya sudah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk menggerakkan usaha membubarkan puak pemisah dengan lemah-lembut dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata Turkiye juga akan melindungi puak Kurdish dan menjamin masa depan mereka.
“Kami merupakan penyokong kepada isu yang membelenggu saudara kita puak Kurdish. Seperti kumpulan lain di Syria, kami menjamin keselamatan puak Kurdish,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: