Bayi tujuh bulan meninggal selepas dihantar ke taska

BANGI, 30 ZULKAEDAH — Anak kepada peguam, Aidil Khalid, dilaporkan meninggal dunia selepas dihantar ke taska di Setapak, kelmarin.

Menurut laporan Kosmo!, anak tunggalnya Muammar Aidil yang berusia tujuh bulan dikatakan tidak sedarkan diri selepas dihantar ke premis jagaan itu pada pukul 9.20 pagi.

Menurut Aidil, pemergian anak lelakinya itu sangat mengejutkan memandangkan bayi itu dihantar dalam keadaan sihat dan ceria oleh isterinya, Nur Farihah Meor Mazli, 29 pada hari kejadian.

“Anak kami dalam keadaan sihat ketika dihantar ke taska pukul 9.20 pagi. Tidak lama kemudian saya dimaklumkan dia (bayi) pengsan, apabila sampai di hospital, doktor kata dia sudah tiada,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Aidil berkata pada hari kejadian bayinya tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.

Aidil berkata, isterinya menerima panggilan daripada pihak taska yang memaklumkan bayi mereka dalam keadaan seakan-akan pengsan, selain terdapat susu keluar dari hidungnya.

Nur Farihah segera bergegas ke taska berkenaan sebelum membawa bayinya ke Jabatan Kecemasan di sebuah hospital swasta di Setapak.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan beritahu bayi kami tidak menunjukkan sebarang respons tetapi pasukan perubatan tetap berusaha memberikan bantuan pernafasan selama 40 minit.

“Akhirnya mereka (pasukan perubatan) beritahu Muammar sudah tiada,” katanya.

Menurut Aidil, sehari sebelum kejadian, bayinya kelihatan ceria dan aktif termasuk bermain dengan kucing.

“Kami berasa sangat terkilan kerana dia sihat sewaktu dihantar ke taska,’ katanya. 

Tambah beliau lagi, Muammar dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu dan sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang masalah timbul, namun beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan sebaliknya berharap pihak berkuasa menyiasat kes kematian bayinya secara menyeluruh termasuk kemungkinan unsur kecuaian.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian ini. Bedah siasat dijalankan di hospital hari ini (semalam). Kami masih menunggu laporannya bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Saya bukan hendak tuduh sesiapa, tetapi saya perlukan jawapan (punca kematian). Saya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam tempoh sejam (berada di taska) itu,” katanya. 

Aidil memaklumkan bahawa taska tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan turut menjaga beberapa bayi lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, mengesahkan menerima laporan daripada bapa bayi itu di Balai Polis Setapak pada pukul 1.26 petang kelmarin.

“Kejadian berlaku antara pukul 9 dan 11 pagi di sebuah taska di Taman Danau Kota,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

Next Post

‘Ekonomi tak selesai, menteri pilih ‘exit plan’

Related Posts