BANGI, 29 ZULKAEDAH — Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan tujuh judul buku atas alasan berpotensi ‘memudaratkan moral’, termasuk Tuan Ziyad: Forbidden Love, yang merupakan antara lima penerbitan tempatan yang terkesan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KDN memaklumkan bahawa larangan tersebut telah diwartakan melalui Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], berkuat kuasa pada 15, 16 dan 17 April lalu.
Selain ‘Tuan Ziyad’, enam judul lain ialah ‘Love, Theoretically’ oleh Ali Hazelwood; ‘Darlingku Mr. Cold Mafia’ oleh Nur Firsha Nadia Mohd Noor; ‘Mischievous Killer’ oleh Aira Syuhairah Noradzan; Suhuf Abraham; ‘Kougar 2’ oleh Shaz Johar dan ‘The American Roommate Experiment’ oleh Elena Armas.
“Tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan berlaku.
“Dalam masa yang sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” menurut kenyataan kementerian hari ini.
Di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, tindakan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia.
Individu yang memiliki penerbitan larangan berdepan denda tidak lebih RM5,000 di bawah subseksyen 8(1) akta tersebut.
Bagi subseksyen 8(2) akta yang sama, individu yang didapati bersalah mengedarkan penerbitan yang diharamkan berdepan penjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
KDN pada Februari lepas mengharamkan tiga judul iaitu ‘My Shadow Is Purple’ oleh Scott Stuart; ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ oleh Amir Hamzah Akal Ali dan ‘All That’s Left In The World’ oleh Erik J. Brown.
Pada Januari 2025, kementerian tersebut mengharamkan enam judul iaitu ‘A Million Kisses In Your Lifetime’ oleh Monica Murphy; Lose You To Find Me’ oleh Erik J. Brown; ‘Punai’ oleh Asyraf Bakti; ‘Scattered Showers’ oleh Rainbow Rowell; ‘When Everything Feels Like The Movie’ oleh Raziel Reid dan ‘What If It’s Us’ oleh Becky Albertalli dan Adam Silver.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi