Lebih 95 peratus tanah pertanian Gaza musnah, risiko kebuluran meningkat

GAZA, 29 ZULKAEDAH — Lebih 95 peratus tanah pertanian di Semenanjung Gaza kini tidak dapat diusahakan berikutan serangan berterusan rejim Zionis yang memusnahkan tanah ladang, telaga dan rumah hijau, menurut penilaian terbaru oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT).

Laporan penilaian geospatial itu menunjukkan bahawa kurang daripada lima peratus tanah pertanian di Gaza masih boleh digunakan — satu angka yang menggambarkan keruntuhan sepenuhnya sistem makanan tempatan di wilayah yang sedang dikepung itu.

FAO menyifatkan keadaan ini sebagai “amat membimbangkan” dan memberi amaran bahawa kemusnahan meluas terhadap infrastruktur pertanian telah melumpuhkan keupayaan Gaza untuk menghasilkan makanan, sekali gus memburukkan lagi risiko kebuluran besar-besaran.

“Penilaian ini mendapati bahawa lebih 80 peratus kawasan pertanian telah rosak, manakala 77.8 peratus tidak lagi dapat diakses oleh petani,” kata kenyataan bersama FAO dan UNOSAT.

Hanya 688 hektar atau 4.6 peratus tanah pertanian yang masih boleh diusahakan, menurut data terkini.

Selain itu, penilaian juga menunjukkan bahawa 71.2 peratus rumah hijau dan 82.8 peratus telaga pertanian telah rosak atau dimusnahkan sepenuhnya — sekali gus menghapuskan sumber asas pengairan dan tanaman tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah FAO, Beth Bechdol, menegaskan bahawa tahap kerosakan yang berlaku bukan sekadar kemusnahan infrastruktur, tetapi merupakan kehancuran total sistem agro-makanan Gaza.

“Apa yang dahulunya menjadi sumber makanan, pendapatan dan kestabilan kepada ratusan ribu rakyat Palestin kini telah musnah sama sekali.

“Dengan kemusnahan tanah, rumah hijau dan telaga, pengeluaran makanan domestik telah terhenti sepenuhnya,” katanya.

Beliau menambah bahawa usaha pemulihan memerlukan pelaburan besar dan komitmen jangka panjang untuk memulihkan bukan sahaja tanah, tetapi juga kehidupan dan harapan rakyat Gaza.

Penemuan itu dikeluarkan selpas laporan Analisis Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengeluarkan amaran bahawa keseluruhan penduduk Gaza kini berdepan risiko kebuluran kritikal, selepas lebih 19 bulan serangan, pemindahan paksa besar-besaran, dan sekatan ketat ke atas bantuan kemanusiaan oleh rejim Zionis Israel.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Suhu cecah 50 darjah Celcius, TH tingkat persediaan

Next Post

Akaun Whatsapp Saifuddin Nasution digodam

Related Posts