Akaun Whatsapp Saifuddin Nasution digodam

BANGI, 29 ZULKAEDAH — Akaun WhatsApp Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam satu lagi kes berkaitan sindiket penipuan, menurut kenyataan rasmi Pejabat Menteri Dalam Negeri.

“Sehubungan itu, pihak kami ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan ataupun mesej yang mengakui diri dan menyamar sebagai Datuk Seri Saifuddin Nasution terutamanya jika ada perkara yang melibatkan kewangan atau temu janji untuk berjumpa,” menurut pejabat itu dalam satu kenyataan, semalam.

Perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Pejabat menteri turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu dan menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang cubaan penipuan.

“Kami juga menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam-penggodam ini kepada pihak yang berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kes penggodaman telefon dan penipuan siber dilihat semakin membimbangkan dan telah menjadi satu krisis nasional di Malaysia.

Data terkini menunjukkan jumlah panggilan penipuan melonjak 82.81 peratus pada tahun 2024 — mencecah hampir 3 juta panggilan, berbanding 1.63 juta pada tahun sebelumnya.

Lonjakan ini mencerminkan peningkatan lebih meluas dalam jenayah siber, termasuk mesej SMS palsu, yang turut meningkat hampir 20% dalam tempoh yang sama.

Pada tahun lalu, rakyat Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM1.57 bilion akibat penipuan—peningkatan ketara daripada RM1.22 bilion pada tahun 2023. 

Sebagai rekod, penipuan dalam talian telah menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM53.88 bilion dalam tempoh setahun, bersamaan kira-kira 3% daripada KDNK Malaysia.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lebih 95 peratus tanah pertanian Gaza musnah, risiko kebuluran meningkat

Next Post

Kanak-kanak Gaza parah dalam perang terus bergelut krisis makanan

Related Posts