Oleh: Haffiz Aziz / [email protected]
KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya fasa satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu sepanjang 17.5 kilometer siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.
Fasa satu yang meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.
Pembukaan laluan kedua Projek MRT Lembah Klang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis 10.00 pagi ini.
Sembilan stesen baharu yang akan dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.
Ketiga-tiga stesen ini telah beroperasi sejak 2016 apabila MRT Laluan Kajang fasa satu dibuka.
Bagaimanapun, stesen berkenaan ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerja-kerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya yang baharu.
Stesen terbabit juga kini telah berjaya dipindahkan ke MRT Laluan Putrajaya dan akan dibuka semula pada 16 Jun ini.