BANGI, 26 ZULKAEDAH — Penghuni yang menetap secara haram di tapak pembinaan masjid di Kampung Dengkil sudah keluar daripada kawasan berkenaan dan berpindah ke tempat lain.
Tinjauan TV Pertiwi ke lokasi berkenaan mendapati, segala pembinaan infrastruktur di tapak itu sudah dirobohkan termasuk rumah yang dihuni serta kandang haiwan ternakan milik individu tersebut.
Menurut Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani, penghuni tersebut dipercayai telah berpindah keluar beberapa minggu lalu.
“Semasa isu ini menjadi kecoh lagi, saya dimaklumkan penghuni itu sudah berkemas-kemas untuk pindah keluar.
“Tetapi saya tidak dimaklumkan ke mana dia pindah dan bila tarikh sebenar dia keluar dari tapak ini,” katanya kepada TV Pertiwi.
Pada April lalu, hantaran di Facebook oleh Al Rasyid mendapat perhatian ramai apabila beliau mendedahkan bahawa tanah yang sepatutnya menjadi lokasi pembinaan masjid baharu di Kampung Dengkil telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang membina kuil bersaiz kecil di situ.
Al Rasyid turut menjelaskan, tindakan itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa bertindak dan tidak lagi menangguhkan pembinaan masjid di tapak itu.
Difahamkan, masjid tersebut akan mula dibina pada 2026.
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengeluarkan kenyataan dan memaklumkan bahawa pengosongan tapak masjid berkenaan akan dilakukan dalam tempoh sebulan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi