BANGI 11 ZULKAEDAH – Keberadaan kuil-kuil Hindu dalam atau berhampiran fasiliti kesihatan milik Kementerian Kesihatan (KKM) seperti hospital dan klinik menimbulkan persoalan tentang kesahihan dan pelanggaran undang-undang di sebalik kebimbangan mengenai kewujudan rumah ibadat tidak berdaftar di negara ini.
Berdasarkan maklumat orang ramai, beberapa kuil dikesan berada di dalam kompaun pusat kesihatan, antaranya Kuil Sri Thirumurugan Alaya Paribalana Sabai di Hospital Kuala Lumpur (HKL); Kuil Sri Muniswarar di Klinik Kesihatan Butterworth; Kuil Sree Maha Sivakaliamman di Hospital Serdang; dan Kuil Sri Dewa Jada Muniswarar Alayam di depan pintu masuk Hospital Bukit Mertajam.
Kewajaran kuil-kuil tersebut dibina di tapak milik kerajaan menjadi pertikaian orang ramai. Pada tahun 2023 seorang pengguna internet, Zaidi Saad memuat naik gambar keadaan jalan raya yang sesak di depan pintu masuk hospital itu kerana perayaan yang diadakan penganut agama Hindu di kawasan sekitar.
TV Pertiwi cuba mendapatkan reaksi KKM namun menurut seorang pegawai menteri Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kementerian itu tidak dapat memberikan sebarang reaksi.
“Pasukan Parlimen KKM telah memasukkan isu ini dalam ‘pipeline’ menteri. Setakat ini kita tak dapat keluarkan apa-apa kenyataan,” katanya.
Sebelum ini, satu surat dikeluarkan oleh pengurusan Hospital Taiping yang tular di internet mengatakan pihaknya mengambil serius kewujudan kuil yang tidak berdaftar di kawasannya.
“Isu ini telah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara yang sewajarnya.
“Proses penguatkuasaan berkaitan perkara ini melibatkan kerjasama dengan agensi luar termasuk Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Pihak serta Pihak Berkuasa Tempatan,” menurut surat maklum balas kepada aduan yang dibuat terhadap kuil itu.
Surat daripada pengurusan Hospital Taiping itu menjadi polemik selepas Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan mengkritik istilah ‘kuil haram’ yang digunakan dalam surat tersebut. Gesaan itu turut disokong Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima).
Bekas Menteri Sumber Manusia itu turut dikaitkan dengan Kuil Thirumurugan di HKL yang juga dipertikaikan kewujudannya memandangkan ia dibina di atas tanah milik KKM.
Cubaan TV Pertiwi mendapatkan maklum balas Saravanan dan pengurusan kuil tersebut bagaimanapun tidak berjaya.
Begitu juga dengan cubaan mendapatkan penjelasan daripada pengurusan HKL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung status kuil tersebut.
Tinjauan di tapak kuil itu mendapati satu gegantung dipaparkan menghebarkan ritual keagamaan ‘Annathanam’ akan diadakan membabitkan 1,500 penganut pada 12 Mei ini yang difahamkan dibuat untuk tahun ketiga.
Semakan di internet mendapati Menteri Kesihatan Dzulkefly pada Jun 2024 pernah mengadakan lawatan tapak di kuil tersebut bagi membincangkan mengenai tempat letak kereta di kawasan tersebut.
Isu kuil haram mendapat perhatian orang ramai yang prihatin terhadap pencerobohan tanah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, selepas tular keberadaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dibina di tanah milik syarikat tekstil terkenal, Jakel di tengah-tengah Kuala Lumpur. Tanah tersebut telah diwakafkan untuk pembinaan Masjid Madani.
Susulan polemik kuil, pertubuhan kebangsaan yang mewakili dan menyelaras aktiviti kuil serta organisasi Hindu, Malaysia Hindu Sangam (MHS) dilaporkan media memaklumkan bahawa pembinaan kuil di atas tanah tidak sah bertentangan prinsip dharma agama Hindu.
TV Pertiwi cuba mendapatkan kenyataan daripada MHS dan Mahima berkenaan kecenderungan penganut Hindu membina kuil berhampiran hospital, namun tidak berjaya.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan 115 kuil haram di bina di tanah kerajaan di Kuala Lumpur.
Manakala di Selangor, sebanyak 1,043 buah rumah ibadat selain Islam tidak berdaftar dengan kerajaan negeri, mengikut hansard sidang Dewan Undangan Negeri pada 2017.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi