Pemilihan PKR: Saifuddin akan umum dalam tempoh ‘munasabah’

Oleh Akmal Ahmad

 

BANGI,7 ZULKAEDAH- Teka teki sama ada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR masih belum terjawab apabila tiada kata putus daripada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu.

 

Saifuddin berkata, beliau juga telah mengadakan pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung perkara itu.

 

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pengumuman rasmi sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan Timbalan PKR akan diumumkan pada waktu yang ‘munasabah’.

 

“Sebagai orang lama dalam Parti Keadilan, saya lebih banyak melalui episod kekalahan berbanding kemenangan.

 

“Satu perkara yang tetap utuh dalam diri saya adalah khidmat kepada parti tidak harus bersyarat kepada kedudukan. Kalah atau menang bukan penentu semangat perjuangan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keberadaan beliau dalam parti itu sejak awal adalah untuk memperkukuh dan memperkuatkan PKR.

 

Katanya, dalam tempoh dua tahun akan datang, parti itu akan berdepan pilihan raya umum (PRU) yang akan membawa erti yang sangat besar.

 

“Justeru, pemilihan parti kali ini harus menjadi medan penyatuan dan pengukuhan, bukan perpecahan.

 

“Parti yang kuat akan menyumbang kepada kerusi yang lebih banyak. Parti yang mantap akan memperkukuh PH dan Kerajaan Perpaduan.

 

“Parti yang bersatu akan memastikan Anwar diposisikan semula sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua,” ujarnya.

 

Saifuddin berkata, beliau menyokong penuh proses pemilihan parti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan menyifatkan ia sebagai ruang demokrasi dalaman yang wajib dihargai.

 

“Dalam masa empat hari yang berbaki sebelum tarikh tutup pencalonan, saya akan terus membuat pertimbangan terbaik dan tawakal dan istikharah.

 

“Insya-Allah, pengumuman rasmi akan saya buat dalam tempoh yang munasabah,” tambah beliau.

 

Terdahulu spekulasi penyertaan Saifuddin itu dalam pemilihan kali ini hangat diperkatakan selepas wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan kem Rafizi susulan keputusan pemilihan cabang, baru-baru ini.

 

Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan – yang dilihat sesetengahnya sebagai luar jangka – mendorong Rafizi mempertimbang untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.

 

Walaupun Rafizi menang sebagai ketua Cabang Pandan, sejumlah calon lain mengalami kekalahan mengejut. 

 

Antaranya Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Adam Adli Abd Halim, serta ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Akmal Nasrullah Nasir, Fahmi Zainol, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wajib daftar SSM untuk perniagaan dalam talian, cadang Ahli Parlimen PH

Next Post

Israel gagal pintas peluru berpandu Houthi, Netanyahu ikrar lancar serang balas

Related Posts