Kubur bukan tempat mencari keberkatan

BANGI, 4 MUHARRAM — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) mengingatkan umat Islam bahawa tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan mahupun populariti.

Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebaliknya umat Islam digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan, dan mendoakan kesejahteraan roh si mati, bukan untuk tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.

“Saya mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat “berkat”.

“Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Media melaporkan bahawa kubur Almarhumah Nurly Shahirah, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak, terpaksa dipasang tali penghadang.

Ini berikutan tindakan segelintir orang ramai yang melakukan perkara yang bertentangan agama termasuk mengambil tanah kubur ketika datang menziarah.

Rumah keluarga dan kubur pelajar itu di Jertih, Terengganu, dikatakan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai untuk menziarahi keluarga Allahyarham dan melihat al-Quran yang ditulis oleh Nurly Shahirah.

Dr Mohd Na’im meminta umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.

Tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, katanya jika disertai dengan keyakinan membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.

Beliau juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas, namun berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan.

Katanya, ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan memberikan ketabahan kepada keluarganya. Kepada yang terlibat, kembalilah kepada ajaran Islam yang benar. Mohonlah ampun kepada Allah dan hentikan perbuatan yang sia-sia serta merosakkan akidah ini.

“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UMNO patut buang nama penjajah, kembali jadi PEKEMBAR – Aminuddin

Next Post

Calon Ketua Hakim Negara mesti bebas kontroversi

Related Posts