Sikap anti Melayu, Islam bukan dinafikan dengan beri peruntukan sahaja – Tun Faisal

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 2 ZULKAEDAH – Sikap anti Melayu dan anti Islam bukan dinafikan dengan hanya memberi peruntukan semata-mata, kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

 

Beliau berkata, ia dibuktikan dengan penerimaan seseorang atau sesuatu kelompok itu terhadap umat Islam, prinsip serta ajarannya dan tiada usaha membawa umat Islam mengikut jalan yang tidak diredhai dan dimurkai oleh Allah SWT.

 

Ujar beliau, musuh-musuh Islam pun memberi peruntukan wang ringgit dan pelbagai bantuan kepada orang Islam dan gerakan melibatkan orang Islam di seluruh dunia dengan niat mempengaruhi umat ini mengikuti perancangan mereka.

 

“Lainlah kalau DAP menggugurkan perjuangan Malaysian Malaysia, sekularisme, liberalisme gerakan evangelisme, kesamarataan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

 

“Mungkin orang Islam boleh percaya, itupun belum pasti lagi kerana dalam kalangan orang Islam pun masih ada golongan munafik yang sentiasa berusaha menentang, merosak dan menjatuhkan umat Islam,” katanya dalam kenyatan.

 

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, prinsip asas ialah umat Islam tidak boleh leka dengan pemberian pihak yang diketahui mempunyai agenda dan pegangan yang bertentangan dengan prinsip, ajaran dan perjuangan Islam.

 

Katanya, orang Islam perlu melihat motif pemberian dan berhati-hati dengan motif di sebalik pemberian tersebut.

 

“Kedua, apa pun peruntukan yang diberikan oleh pemimpin kerajaan ialah hak rakyat. 

 

“Datang daripada kocek rakyat, hasil cukai dan denda atau saman yang dikenakan ke atas rakyat.

 

“Ambil sahaja tanpa perlu rasa terhutang budi lebih-lebih lagi apabila berbilion-bilion subsidi rakyat telah ditarik dan begitu banyak cukai dikenakan oleh kerajaan,” katanya.

 

Tun Faisal berkata, peruntukan untuk pembinaan dan pentadbiran masjid pula memang sewajarnya diberikan kepada masjid, surau, institusi pendidikan Islam dan usaha-usaha mengembangkan ajaran dan syiar Islam kerana ia ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

“Peruntukan dalam Perlembagaan yang dijadikan dasar dalam pentadbiran negara ini bukan usaha Nga Kor Ming atau DAP, tetapi usaha pejuang-pejuang kemerdekaan yang memastikan Islam menjadi Agama Persekutuan seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

 

“Ia juga berkat usaha pemimpin-pemimpin Islam terdahulu untuk memastikan kerajaan terus komited melaksanakan dasar berkaitan Islam dan memberikan peruntukan yang sewajarnya untuk pengembangan syiar agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” tambah beliau.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mahkamah tolak saman fitnah IKRAM terhadap Ridhuan Tee RM200 juta

Next Post

IKRAM akan fail rayuan keputusan Mahkamah Tinggi tolak saman fitnah Ridhuan Tee

Related Posts