ISNIN, 29 NOVEMBER – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meminta polis menyiasat jika terdapat percubaan disengajakan pihak tertentu menyembunyikan bukti bagi mengaitkan kesalahannya dalam kes 1MDB.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, siasatan juga perlu melibatkan individu penting dalam Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM ketika bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan PH.
Najib berkata, beliau terkejut dengan kenyataan SPRM minggu lalu bahawa baki sebanyak RM65 juta juga daripada dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, ada kena mengena dengan keluarga bekas Gabenor Bank Negara.
Laporan polis itu katanya, untuk meminta pihak berkuasa menyiasat jika terdapat percubaan yang disengajakan untuk menyembunyikan bukti material daripadanya selain turut menyiasat individu penting dalam Jabatan Peguam Negara dan SPRM ketika dalam pentadbiran PH.
Menurut Najib, laporan sebuah media antarabangsa mendakwa sebanyak RM700 juta telah dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas Gabenor itu sejak 2013 hingga 2017.
Beliau menyatakan kekecewaan kerana tidak ada mana-mana agensi pihak berkuasa menyiasat perkara yang didedahkannya sebelum ini.