Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 RAMADAN — Hamas kini sedang berunding dengan perantara dari Mesir dan Qatar agar satu gencatan senjata dapat diadakan menjelang Aidilfitri.
Sumber yang tidak dinamakan itu berkata perbincangan juga menjurus kepada pertukaran tahanan sehinggalah tiba perayaan Paskah yang berakhir pada 20 April, lapor AFP.
“Mesyuarat petang semalam antara delegasi Mesir yang bertanggungjawab ke atas rundingan di Doha dan delegasi Hamas dalam usaha memperkukuh gencatan senjata.
“Delegasi perantara mengadakan perbincangan intensif dengan semua pihak untuk mengukuhkan gencatan senjata dan beralih ke fasa kedua perjanjian,” katanya.
Israel kembali menyerang Gaza minggu lalu selepas Hamas enggan meneruskan gencatan senjata fasa dua.
Gencatan senjata fasa pertama yang berakhir awal bulan ini sepatutnya beralih ke fasa dua yang bakal menyaksikan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
Sementara itu, sumber lain mendakwa perbincangan itu belum menunjukkan perkembangan ketara dan masih menunggu kelulusan Israel.
Katanya, Hamas mencadangkan lanjutan gencatan senjata itu yang akan membuka semula bantuan kemanusiaan dan pembebasan tahanan di Gaza.
“Perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata mungkin termeterai tetapi kejayaannya bergantung kepada kelulusan Israel dan kesediaan mereka memberi kebenaran.
“Perantara sedang mengemukakan cadangan yang kini sedang diperhalusi,” katanya.
Serangan Israel sejak minggu lalu menyaksikan hampir 900 penduduk Gaza terkorban selepas tentera penjahah melancarkan serangan darat dan udara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi