Hina upacara Hindu, Fahmi gesa SKMM panggil Astro Radio

Oleh Wartawan TV Pertiwi


BANGI, 3 RAMADAN  — Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat kakitangan stesen radio Astro.

 

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata suruhanjaya itu perlu memanggil pihak pengurusan Astro hadir ke Ibu Pejabat SKMM bagi memberi keterangan lengkap, lapor Berita Harian.


“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain.


“Saya arahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di Ibu Pejabat SKMM,” katanya.

 

Penyampai radio ERA hari ini membuat permohonan maaf susulan video kontroversi mempersendakan upacara agama Hindu.

 

Klip video itu mencetuskan kemarahan ramai kerana dianggap sebagai penghinaan serius terhadap tradisi Hindu.

 

Fahmi berkata tindakan memanggil mereka adalah bagi memastikan tindakan yang setimpal dapat diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

 

Sementara itu, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang melahirkan kekesalan dan mengutuk tindakan mereka yang menghina mana-mana agama termasuk agama Hindu.


“Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.

 

“Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di  Malaysia,” katanya.


Beliau juga mengingatkan agar semua pihak bertanggungjawab dan tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci di kalangan penganut agama.


Katanya, setiap tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut boleh didakwa di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

RUU URA ancam kuasa Melayu bandar, kata Dr Mahathir

Next Post

Fahmi terima maaf penghina Rasulullah? Soal pemimpin PAS

Related Posts