Beri peluang, tertuduh tidak sengaja bunuh Zulfarhan, kata peguam

Oleh Wartawan TV Pertiwi

 

PUTRAJAYA, 28 Feb — Peguam tertuduh dalam kes bunuh tanpa niat Zulfarhan Osman Zulkarnain menggesa masyarakat menerima kembali anak guamnya, Muhammad Afif Najmudin Azahat. 

 

Datuk Seri M Ramachelvam berkata apa yang berlaku kepada Zulfarhan adalah tidak disengajakan dan anak guamnya akan dibebaskan dalam empat tahun lagi, lapor Harian Metro. 

 

“Ini adalah pelajaran dan pengalaman yang menyakitkan bagi dia. Ibu bapa dia sebenarnya sudah meminta maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku dan tidak sengaja. 

 

“Dia menanti-nantikan untuk memulakan kehidupan lagi empat tahun dan saya harapkan yang terbaik untuk masa depannya. 

 

“Apa yang berlaku tidak disengajakan hingga membawa kepada kematian Zulfarhan, jadi beri mereka peluang untuk mulakan hidup semula,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kehakiman di sini hari ini. 

 

Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan mereka.  

 

Tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan rayuan enam tertuduh selepas didapati bersalah membunuh Zulfarhan. 

 

Tiga hakim itu kemudiannya mengembalikan hukuman penjara 18 tahun sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap. 

 

Ramachelvam berkata anak guamnya sudah menjalani hukuman penjara lapan tahun sejak ditahan pada Jun 2017. 

 

“Penjara membenarkan satu pertiga hukuman dipertimbangkan untuk diselesaikan lebih awal jika berkelakuan baik, jadi jika dikira dia akan keluar selepas empat tahun lagi,” katanya. 

 

Afif Najmudin, 29, antara enam bekas penuntut UPNM yang terlepas dari tali gantung hari ini selain Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bekas penuntut UPNM terlepas hukuman gantung, kembali penjara 18 tahun

Next Post

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Ahad ini

Related Posts