Oleh Kamil Awang
BANGI, 22 FEB — Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) tidak akan bersubahat dengan geng plastik hitam sepanjang Ramadan ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata walau terdapat restoran yang dibuka pada siang hari namun ia dikhususkan kepada pelanggan bukan Islam.
“Kami sudah maklumkan jangan ada budaya plastik hitam ini. Benda ini adalah subahat. Dosa yang ada pun tidak tertanggung. Buat apa hendak tambah dosa lagi?
“Kedai buka macam biasa tetapi pekerja akan dikurangkan sebab berpuasa. Pembeli beragama Islam dibenar beli apabila hampir waktu berbuka puasa,” katanya kepada TV Pertiwi.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut awal Ramadan pada 2 Mac ini tertakluk kepada perkiraan rukyah dan hisab.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada Jumaat depan yang akan dilakukan di balai cerapan seluruh negara.
Jawahar Ali berkata pengusaha Restoran Muslim akan meneruskan operasi pada siang hari namun terhad kepada pelanggan bukan Islam.
Katanya, wanita uzur masih dibenarkan untuk membeli makanan pada siang hari namun tidak dibenarkan untuk makan di restoran.
“Di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor masih dibenarkan buka asalkan kami tidak berurusan dengan pembeli beragama Islam mahupun yang bungkus.
“Jabatan agama Islam negeri juga akan menampal poster buat pemantauan dan pematuhan. Kalau wanita uzur, tidak mungkin kita tolak mereka hendak beli.
“Wanita uzur ini kita tidak boleh pertikaikan hak mereka, kita benarkan mereka beli. Geng plastik hitam ini kalau ada pun kes terpencil,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: