Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 21 Rejab — Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berharap gencatan senjata di Gaza kekal agar dapat menjejakkan kaki di bumi anbiya itu.
Siti Nurhaliza, 46, berkata jika Gaza kembali aman, beliau berhasrat mengunjungi sekolah yang dibina Yayasan Nurjiwa di Khan Yunis, lapor Kosmo.
“Saya memang berhasrat ingin ke Gaza untuk berjumpa dengan guru serta pelajar Sekolah Afwa Al-Aafiyah sekiranya keadaan sudah aman dan tenang.
“Walaupun sekarang gencatan senjata namun belum dapat dipastikan keadaan di Palestin terus aman. Suami turut menasihatkan agar tunggu situasi benar-benar pulih,” katanya.
Penyanyi “Cindai” berkata pelajar di sekolah itu tetap meneruskan pembelajaran walau premis sekolah mereka hancur dibedil Zionis.
Katanya, pemantauan sentiasa dilakukan berdasarkan perkembangan semasa yang dikongsikan Dr Mohanad.
“Kami di Yayasan Nurjiwa bersyukur masih dapat berhubung dengan Dr Mohanad yang banyak membantu menguruskan hal ehwal kira-kira 100 pelajar dan lapan guru di sana.
“Selain tenaga pengajar, sekolah itu turut mempunyai beberapa sukarelawan yang menolong melancarkan urusan terutama ketika peperangan.
“Saya dimaklumkan warga sekolah Afwa Al-Aafiyah semuanya selamat dan berada di Khan Yunis. Kita di Malaysia teruskan berdoa agar pergolakan ini berakhir,” katanya.
Siti Nurhaliza berkata pihaknya berhasrat untuk membina semula sekolah yang hancur dibedil Zionis namun bergantung kepada keadaan semasa.
Katanya, keutamaan kini lebih menjurus kepada bantuan kemanusiaan seperti makanan dan pakaian musim sejuk.
“Buat masa ini, Yayasan Nurjiwa hanya meneruskan penghantaran bantuan untuk guru, pelajar, sukarelawan sekolah serta penduduk Palestin berupa keperluan pakaian musim sejuk.
“Bagi musim sejuk sekarang, kita tahu mereka di sana sangat memerlukan pakaian tebal dan makanan. Bagaimanapun, sekolah belum dapat beroperasi sepenuhnya.
“Cuma macam yang saya cakap proses pembelajaran masih berjalan seperti biasa di kem-kem sementara kerana pendidikan antara fokus utama,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: