Oleh Wartawan TV Pertiwi
Hospital Bersalin Razif (HBR) di Klang, Selangor mendakwa seorang wanita yang melahirkan di hospital itu lalu bayinya meninggal dunia dilayan dengan baik.
HBR dalam satu kenyataan hari ini berkata lelaki yang dikatakan “suami” wanita itu melengahkan pengebumian walau mendapat kebenaran hospital.
“Permit pengebumian sudah ditandatangani dan doktor memberitahu ‘suami’ untuk aturkan pengebumian pada keesokan harinya.
“Pesakit dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya dan beliau memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480.
“Beliau kemudian diberitahu bahawa boleh mengatur pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil,” katanya.
Tular di media sosial keadaan jenazah bayi yang dibekukan atas dakwaan ibu bapanya tidak mampu membayar bil sebuah hospital bersalin.
Keadaan itu lebih menyayat hati apabila pengurus jenazah sukarela dilaporkan menghadapi kesukaran untuk menguruskan jenazah.
HBR berkata lelaki yang dikatakan ‘suami’ kepada wanita terbabit tidak mengambil langkah segera untuk menguruskan jenazah bayi tersebut.
“‘Suaminya’ datang melawat hanya untuk beberapa minit setiap dua hingga tiga hari. Percubaan untuk berbincang dengannya tentang pengebumian gagal.
“HBR kemudian berbincang dengan pesakit untuk melibatkan pihak polis bagi membantu menyelesaikan soal pengebumian tetapi beliau merayu agar tidak melibatkan pihak polis.
“HBR kekal komited terhadap ketelusan dan kepatuhan dalam semua urusan kami,” katanya.
Menceritakan detik awal kejadian, HBR berkata wanita berkenaan datang ke hospital itu semasa berada dalam fasa bersalin dan tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal.
Katanya, wanita berkenaan hanya memantau kehamilannya menggunakan aplikasi telefon dan dibawa ke hospital oleh ‘suaminya’.
“Memandangkan sakit bersalin yang kuat, beliau dibawa terus dari kereta ke bilik pemeriksaan dengan menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera.
“HBR terpaksa menerima pesakit ini atas dasar kemanusiaan walaupun tanpa tempahan dan pemeriksaan saringan.
“Beliau dihantar ke bilik bersalin dan melahirkan bayi tersebut hampir serta-merta. Bayinya mengalami sindrom siklop dengan satu mata, tanpa hidung, dan tanpa dubur,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI