Oleh Wartawan TV Pertiwi
Sukarelawan pengurusan jenazah, Wan Cai tampil menafikan kenyataan yang dikeluarkan Hospital Bersalin Razif (HBR), di Klang, Selangor hari ini.
Wan Cai, nama popular Mohd Hirwan Aiyub, berkata ibu dan bapa bayi berkenaan sudah berkahwin selain menegaskan jenazah tidak dibenarkan untuk dituntut.
“Kamu keluarkan kenyataan ibu bapa bayi Adham tidak kahwin tanpa lihat sijil nikah mereka. Kamu kata bapa dia pula yang tidak mahu uruskan jenazah anaknya?
“Seorang kawan datang ke hospital kamu buat bayaran RM663 pada 7 Disember. Lepas buat bayaran dia cuba tuntut jenazah tetapi staf yang ada di kaunter tidak benarkan.
“Wanita itu minta bayar baki RM1,817 baharu jenazah bayi Adham boleh dilepaskan. Sekarang ini kamu pusing kata bapa bayi tidak mahu uruskan jenazah anaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini menyanggah kenyataan HBR.
Hospital itu mendakwa wanita yang melahirkan dan bayinya meninggal dunia minggu lalu dilayan dengan baik.
Katanya, lelaki yang dikatakan “suami” wanita itu melengahkan pengebumian walau mendapat kebenaran hospital.
“Permit pengebumian sudah ditandatangani dan doktor memberitahu ‘suami’ untuk aturkan pengebumian pada keesokan harinya.
“Pesakit dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya dan beliau memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480.
“Beliau kemudian diberitahu bahawa boleh mengatur pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil,” kata HBR.
Wan Cai berkata HBR seharusnya mengakui kesalahan mereka dan mengambil pendirian untuk memperbetul keadaan.
Katanya, HBR bagaimanapun angkuh dan berfikir mampu mengubah fakta dengan menepis dakwaan di media sosial.
“Tetapi kau angkuh dan fikir boleh menang sebab kau ada duit. Kau perlu sedar fakta tidak boleh diubah menjadi auta.
“Aku ada saksi mata bersama bukti resit yang dikeluarkan atas nama hospital kau. Aku ada bukti dokumen sijil nikah yang kau sibuk kata ibu bapanya tidak berkahwin.
“Kau berani kata ibunya dibenarkan keluar pada hari kejadian. Kau lupa pada hamba Allah yang tolong bayarkan baki RM1,800 duit bil hospital pada 11 Disember,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI