Oleh Wartawan TV Pertiwi
Seorang doktor di Perak menyifatkan hasil siasatan terhadap seorang penolong pegawai perubatan yang memukulnya pada Jun lalu sebagai tidak adil.
Dr Aidid Nawawi Ghazali berkata lelaki yang digelarnya Mr H itu tidak menerima apa-apa tindakan, tidak memohon maaf dan kekal boleh bekerja seperti biasa, lapor Harian Metro.
“Mr H memukul saya tujuh kali di bahagian belakang dan dua kali di belakang kepala saya.
“Saya dipukul, dihina dan dibiarkan terkejut sementara rakan sekerja saya dan pegawai polis hanya berdiri di situ. Mr H keluar seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.
Beliau mengulas kejadian yang berlaku pada 4 Jun lalu ketika beliau sedang merawat seorang pesakit wanita yang cedera akibat diserang dan aurat pesakit itu terdedah.
Katanya, Mr H bukanlah sebahagian daripada pasukan kecemasan, namun lelaki itu masuk ke bilik rawatan atas alasan kononnya mengenali pesakit tersebut.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Perak (JKP) mendakwa satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman sudah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu.
Pengarahnya, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata jawatankuasa itu ditubuhkan pada hari sama Dr Aidid Nawawi membuat aduan dan siasatan dilaksanakan pada 12 Jun.
“Susulan itu, Pengarah Hospital Gerik sudah mengeluarkan surat teguran kepada pegawai terbabit pada 31 Julai lalu.
“Surat pemakluman hasil siasatan dalaman dihantar kepada pengadu, Dr Aidid pada 1 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata JKP sudah berhubung dengan pengadu dan menawarkan perkhidmatan kaunseling.
Katanya, Kementerian Kesihatan memandang serius sebarang perlakuan buli atau penggunaan kekerasan dan mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI