SELASA, 30 NOVEMBER – Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka empat kertas siasatan ke atas pemborong ayam, atas kesalahan gagal menurunkan harga.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Kia, berkata harga maksimum ayam yang diperiksa ialah RM10.50 sekilogram, manakala harga minimum ditetapkan RM8.80 sekilogram.
Saharuddin berkata, empat kertas siasatan itu dibuka ke atas pemborong ayam atas kegagalan menurunkan harga pada paras ditetapkan.
KPDNHEP juga mengeluarkan sebanyak 47 notis Pengesahan Maklumat Barangan kepada peniaga ayam di seluruh negeri.
Tambahnya lagi, sebanyak 41 peniaga peringkat borong dan runcit diberikan surat pemberitahuan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Ketika mengulas mengenai kenaikan harga sayur, Saharuddin berkata, kenaikan harga sayur-sayuran bersifat sementara dan dijangka turun semula selepas cuaca bertambah baik.
Katanya, kenaikan harga sayur disebabkan cuaca yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan dan kerosakan hasil pertanian serta faktor tambahan kos baja.