Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Isnin – Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan mengibarkan Jalur Gemilang yang disertai 300 individu di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata tiada notis dihantar kepada pihak polis himpunan yang dianjurkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) serta dihadiri pimpinan PAS Perak dan penduduk setempat itu.
Siasatan awal mendapati Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan itu.
“Hasil semakan mendapati, penganjur perhimpunan terbabit tidak menghantar pemakluman kepada polis bagi mengadakan perhimpunan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis antara 10 hari hingga 30 hari sebelum perhimpunan.
“Arahan perintah untuk menyiasat (OTI) akan dipohon bagi menjalankan siasatan lanjut pihak yang terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Azizi turut memberi amaran dan menasihati orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menggugat ketenteraman awam.
Dalam pada itu, kira-kira 200 bendera Jalur Gemilang dikibarkan oleh peserta dengan diiringi lagu-lagu patriotik.
Perhimpunan itu dipercayai sebagai satu tindak balas satu perhimpunan warga asing yang tidak mempunyai kebenaran polis di kawasan yang sama dengan mengibarkan bendera negara China sambil turut membawa peralatan persembahan antaranya tarian naga dan tarian singa.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#JalurGemilang # #benderaChina #TelukIntan