KUALA LUMPUR, 29 ZULHIJAH – Beberapa jam sebelum berlangsungnya Himpunan Turun Anwar di ibu negara, penganjur mendakwa pentas utama yang telah siap dipasang diarahkan untuk dibuka semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden meluahkan rasa kesal apabila arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa berubah-ubah sejak awal pagi tadi.
“3.30 pagi tadi, polis kata boleh bawa masuk dua buah pacuan empat roda, boleh pasang pentas, boleh letak kerusi, boleh pasang backdrop. Kami akur dan teruskan seperti yang dibenarkan.
“Tapi jam 10 pagi, DBKL suruh pula buka pentas. Bila tanya sebab, mereka pun tak beri jawapan yang jelas.
“Semalam cakap lain, pagi ni cakap lain. Adakah ini satu provokasi yang dirancang?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Melalui media sosial rasmi, PN turut menyatakan bahawa petugas mereka kekal tenang dan berserah kepada Allah SWT ketika berdepan tekanan pihak berkuasa.
“Kekal tenang. Petugas berzikir berserah kepada Allah SWT ketika DBKL menyita pentas himpunan. Ketakutan PMX tidak dapat disembunyikan lagi,” kata hantaran itu.
Tindakan DBKL itu menerima kritikan hebat dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai satu bentuk penindasan terhadap kebebasan rakyat untuk berhimpun secara sah dan aman.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk:
“SubhanAllah! Sangat-sangat keji lah hati dan perasaan mereka yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja buruk mereka. Semoga Allah lah yang membalasnya. Aamin!”
“Demokrasi apa yang negara ini amalkan? Belum berjalan lagi perhimpunan sudah buat sedemikian. Allahuakbar!”
“Punca macam ni lah boleh jadi provokasi. Kita minta cara baik depa tak mau kasi. Bila kita buat huru-hara, depa salahkan kita.”
Namun begitu, segelintir pihak tetap mempertikai tujuan himpunan tersebut yang didakwa lebih bersifat politik daripada membela nasib rakyat.
Setakat ini, DBKL belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai arahan terhadap insiden tersebut.